RM1 juta milik wanita warga emas lesap - Utusan Malaysia

RM1 juta milik wanita warga emas lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Wang simpanan RM1 juta milik seorang wanita warga emas lesap selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun pada mulanya telah menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai Telekom Malaysia (TM) pada 15 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, suspek mendakwa, maklumat peribadi mangsa digunakan pihak lain untuk pendaftaran talian TM dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang ‘pegawai polis’ dan dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya terbabit jenayah narkotik dan pengubahan wang haram.

“Mangsa yang menjalankan perniagaan rumah sewa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM1 juta ke dalam tujuh akaun bank berasingan kononnya untuk tujuan siasatan.

“Sebaik selesai membuat pemindahan wang, mangsa cuba menghubungi semula ‘pegawai polis’ itu, namun gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, kata Mohd Mahidisham, wanita berkenaan menyedari dirinya ditipu selepas mangsa cuba menghubungi semula ‘pegawai polis’ itu sebaik membuat pemindahan, namun gagal.

“Disebabkan itu, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, seorang suri rumah berusia 41 tahun kerugian RM33,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Mohd Mahidisham berkata, mangsa yang melayari media sosial telah melihat iklan menawarkan pelaburan mata wang digital dengan keuntungan 400 peratus daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan pada 10 Disember lalu.

“Mangsa kemudian dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan mengenai pendaftaran dan pelaburan mata wang digital itu.

“Selepas mendaftar, mangsa kemudian diberikan satu akaun e-wallet bagi memantau pelaburannya,” jelasnya.

Kata beliau, susulan itu, wanita berkenaan telah membuat tujuh transaksi pelaburan berjumlah RM33,800 ke dua akaun bank yang diberikan di antara tempoh 28 hingga 30 Disember lalu.

“Pada 15 Januari lalu, mangsa membuat semakan akaun e-wallet miliknya dan mendapati keuntungan RM147,114, tetapi wang itu tidak dapat dikeluarkan.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak khidmat pelanggan pelaburan itu dan diarahkan membuat bayaran RM29,423 terlebih dulu sebagai wang jaminan, sebelum wang dalam e-wallet itu dikeluarkan.

“Mangsa yang berasakan dirinya tertipu tampil membuat laporan polis. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya