Simpanan peluru berpandu Patriot AS berkurangan

Simpanan peluru berpandu Patriot AS berkurangan

AMERIKA Syarikat (AS) hanya mampu menghasilkan sekitar 600 unit peluru berpandu Patriot setahun. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kini hanya memiliki sekitar 25 peratus daripada jumlah peluru berpandu Patriot yang diperlukan untuk semua rancangan ketenteraan Pentagon, selepas kehabisan stok akibat penggunaan dalam konflik di Asia Barat.

Situasi itu mendorong pentadbiran Presiden Donald Trump membekukan sementara penghantaran senjata ke Ukraine.

Stok peluru berpandu Patriot menyusut ke tahap yang begitu rendah sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai Pentagon bahawa ia boleh menjejaskan operasi ketenteraan AS.

Susulan itu, Timbalan Setiausaha Pertahanan, Stephen Feinberg, membenarkan penghantaran digantung sementara kajian semula dibuat terhadap pengagihan senjata sedia ada.

Bagaimanapun, Trump pada Selasa mengumumkan untuk menghantar 10 unit peluru berpandu Patriot ke Ukraine, sebagai sebahagian usaha membantu Kyiv bertahan daripada serangan besar-besaran Russia.

Pengumuman itu dibuat sebelum majlis makan malam bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih, di mana beliau menyatakan komitmen untuk menghantar lebih banyak senjata kepada Ukraine.

Trump turut memaklumkan kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam satu panggilan telefon yang beliau tidak bertanggungjawab dalam pembekuan penghantaran terdahulu dan hanya mengarahkan kajian semula terhadap stok senjata.

MEMO CADANGAN

Empat sumber memaklumkan, keputusan awal untuk membekukan penghantaran berpunca daripada data penjejak peluru global Pentagon.

Data itu menunjukkan jumlah peluru penting termasuk Patriot, berada di bawah paras minimum sejak beberapa tahun lalu, selepas pentadbiran Presiden Joe Biden mula menghantar bantuan ketenteraan ke Ukraine.

Sumber mendakwa, pentadbiran Trump mula mengkaji tahap kehabisan peluru berpandu Patriot dan peluru lain sekitar Februari lalu.

Perbincangan dipercepatkan selepas AS menghantar lebih banyak pemintas ke Asia Barat bagi menyokong kempen terhadap Houthi dan untuk Israel.

Keadaan menjadi lebih genting selepas tindakan Trump mengebom kemudahan nuklear Iran bulan lalu, apabila AS melepaskan hampir 30 peluru berpandu Patriot bagi memintas serangan balas Iran ke atas pangkalan Al-Udeid di Qatar.

Satu ‘memo cadangan’ dikemukakan Timbalan Setiausaha Pertahanan untuk Dasar, Elbridge Colby, yang menggariskan beberapa pilihan untuk menjimatkan penggunaan senjata dan dihantar ke pejabat Feinberg.

Walaupun laporan awal menyatakan Colby yang menghentikan penghantaran, dua sumber menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sepihak.

Keputusan muktamad dibuat oleh Feinberg dan diluluskan oleh Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.

Krisis berlaku pada masa kritikal untuk Ukraine, ketika Russia melancarkan serangan udara terbesar setakat ini.

Ukraine juga sebahagian besarnya tidak mampu membeli senjata secara langsung daripada syarikat pertahanan untuk kegunaan sendiri, kerana pesanan baharu dianggarkan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan.

KEKECEWAAN TRUMP

Keputusan Trump untuk mengubah pendirian dan membenarkan sebahagian peluru pertahanan dihantar ke Ukraine dilihat berlaku di tengah kekecewaan yang semakin memuncak terhadap

Presiden Russia, Vladimir Putin, yang dikritik kerana tidak membantu menamatkan perang.

Walaupun Trump secara terbuka sering mengeluh mengenai bantuan kewangan kepada Ukraine, Feinberg dimaklumkan bahawa masalah lebih besar sebenarnya terletak pada keupayaan AS untuk mengeluarkan senjata bagi menggantikan stok yang semakin susut dengan cepat, menurut dua sumber.

AS menyalurkan senjata ke Ukraine melalui dua saluran utama, menerusi pengeluaran stok simpanan Jabatan Pertahanan dan Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine (USAI), di mana Pentagon membayar kontraktor untuk mengeluarkan senjata bagi dihantar ke Ukraine.

Menurut individu yang mengetahui perkara itu, kedua-dua mekanisme penghantaran terjejas akibat pembekuan tersebut, kerana Pentagon kini mengutamakan usaha menambah semula stok simpanan menggunakan kontraktor pertahanan sama yang turut digunakan bagi membina senjata Ukraine melalui program USAI.

Bagi penghantaran senjata terbaharu ke Ukraine, AS memperuntukkan puluhan peluru berpandu Patriot bersama senjata lain termasuk Sparrow, Hellfire, roket artileri GMLRS dan senjata anti kereta kebal.

Kebimbangan utama tertumpu kepada peluru berpandu Patriot, kerana AS hanya mampu menghasilkan sekitar 600 unit setahun, sedangkan Iran masih mempunyai lebih 1,000 peluru berpandu balistik yang boleh digunakan jika gencatan senjata dengan Israel gagal.

AS juga menghantar kira-kira 2,000 peluru berpandu Stinger ke Ukraine, bersamaan dua tahun setengah pengeluaran, dan kini ia semakin diperlukan oleh tentera AS untuk menangkis serangan dron musuh.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×