KUBANG PASU: Nenek kepada Putri Qisya Nur Izat Mohamad Azim Izat, 12, memberi ruang kepada cucunya membuat keputusan untuk tinggal dengan siapa selepas ini memandangkan kanak-kanak itu kini yatim piatu.
Roswati Zainol, 52, berkata, Putri Qisya adalah seorang cucu yang baik dan sentiasa membantu arwah ibunya, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi menjaga empat adiknya.
“Saya tidak paksa dan tidak suruh, ikut rasa hati dia dengan siapa serasi. Hendak tinggal dengan tok umi pun boleh. Cuma dia sudah jadi kekuatan saya sebab umi dia sudah tidak ada.
“Kalau dia hendak tinggal dengan ibu saudara pun tidak mengapa, cuma jangan paksa hati hendak jaga hati sesiapa. Ikut mana yang kita hedak hadap hari-hari,” katanya di sini semalam.
Putri Qisya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak, Alor Setar tidak mengikuti ibu bapanya keluar pada Jumaat lalu sebelum mereka singgah bermalam di rumah ibu saudaranya di Taman Sri Aman, Jitra.
Dia sekelip mata bergelar yatim piatu setelah bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, menemui ajal bersama ibu dan empat adiknya, Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan bayi lelaki berusia enam bulan, Tuah Haydar dalam kejadian di Sungai Korok.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah Roswati di Kampung Bohor Karang, Jerlun yang menjadi tempat tinggal mereka.
Sementara itu, Roswati berkata, Putri Qisya semakin kelihatan sugul sejak semalam walaupun dia kuat dan tabah menghadapi kehilangan keluarga tercinta.
“Saya nampak dia tahan perasaan dan tak menangis, dia genggam tangan sendiri. Qisya mula menunjukkan perasaan sebenarnya pada pengebumian ibu bapa dan empat adiknya malam kelmarin,” katanya. – UTUSAN










