Pro-Net, AMTEL meterai MoU urus komponen, pelupusan bateri EV

Pro-Net, AMTEL meterai MoU urus komponen, pelupusan bateri EV secara selamat 

ZHANG Qiang (kanan) dan Lim Hun Teik bertukar dokumen perjanjian MoU antara PRO-NET dan AMTEL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan AMTEL Holdings Berhad, bagi mengurus pengangkutan, pemisahan komponen dan pelupusan bateri kenderaan elektrik (EV) dengan cara yang betul dan selamat.

Perjanjian tersebut ditandatangani melalui anak syarikat masing-masing iaitu Proton New Energy Technology (Pro-Net) dan AMTEL Cellular Sdn. Bhd. (AMTEL).

Melalui kerjasama ini, Pro-Net akan memanfaatkan kepakaran AMTEL dalam memastikan bateri EV dapat digunakan sepenuhnya dan tidak dibazirkan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, pihaknya komited sepenuhnya terhadap kelestarian. 

“Dalam usaha kami membantu negara beralih kepada mobiliti hijau, kami juga mahu memastikan keseluruhan proses ini adalah mesra alam. 

“Walaupun belum ada garis panduan rasmi daripada pihak kerajaan, kami mengambil langkah awal untuk memastikan pelupusan bateri EV dilakukan dengan cara yang betul agar proses kitar semula ini tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas beliau, pelupusan bateri EV akan dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Sistem Maklumat Sisa Berjadual Elektronik (eSWIS) yang digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

AMTEL turut melabur secara aktif dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk meneroka kegunaan baharu untuk sel bateri EV. 

“Fokus utama adalah memanfaatkan semula sel bateri ini untuk kegunaan seperti sistem penyimpanan tenaga, sekali gus menyokong ekosistem tenaga yang lebih lestari,” katanya.

Qiang berkata, bahan bernilai daripada bateri terpakai akan dipulihkan dan digunakan semula untuk tujuan seperti pembuatan bateri baharu atau sebagai sistem penyimpanan tenaga, satu langkah penting ke arah ekonomi kitaran yang lebih lestari.

Menurut anggaran oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), menjelang 2050, sebanyak 870,000 bateri EV dijangka perlu dikitar semula di Malaysia. 

Jumlah ini menunjukkan keperluan mendesak untuk adanya sistem dan rangka kerja yang teratur bagi memastikan bateri terpakai dikumpul, diproses dan dilupuskan dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab. 

Hal ini penting untuk memastikan kelestarian jangka panjang ekosistem EV di negara ini, terutamanya dengan kadar penggunaan yang semakin meningkat.

Proton e.MAS 7 menggunakan bateri LFP short-blade berteknologi tinggi yang direka khas untuk mengurangkan risiko berkaitan bateri dan memastikan keselamatan kenderaan serta penumpangnya. 

Ciri ini menjadi antara tarikan utama yang menjadikan Proton e.MAS 7 sebagai EV paling laris di Malaysia bagi tahun 2025 setakat ini, selain turut diiktiraf sebagai EV paling selamat di negara ini dengan pencapaian skor tertinggi dalam penilaian ASEAN NCAP.

Ketua Pegawai Eksekutif AMTEL Cellular Sdn. Bhd., Lim Hun Teik berkata, kerjasama ini menunjukkan komitmen bersama kami bukan sahaja memacu mobiliti elektrik, tetapi juga membina ekosistem lengkap yang menyokongnya, daripada khidmat selepas jualan yang boleh dipercayai, pengurusan bateri yang selamat hinggalah kepada pelupusan yang bertanggungjawab. 

“Kami sepenuh hati menyokong misi Pro-Net dalam membawa inovasi ke jalan raya dan berbesar hati dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pemilik EV terus yakin sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN