Cubaan gagal jual Toyota Vellfire curi RM20,000 - Utusan Malaysia

Cubaan gagal jual Toyota Vellfire curi RM20,000

SHAMSUL Amar Ramli menunjukkan kereta curi jenis Honda Civic digunakan suspek untuk melarikan diri dan sebuah Toyota Vellfire yang mahu dijual pada harga RM20,000 selepas mengadakan sidang akhbar di IPD Klang Selatan di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan dua lelaki cuba jual kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire pada harga RM20,000 gagal apabila ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di Kilometer (KM) 29 berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, pada 5 November (Jumaat) lalu.

Kedua-dua suspek berusia 41 tahun itu dipercayai cuba menjual kereta terbabit pada seorang lelaki digelar sebagai ‘Panjang’ di Rantau Panjang, Kelantan selepas terlibat dalam kes pecah sebuah rumah, curi kenderaan mewah dan senjata api di Kampung Sungai Kembong,  Pulau Indah di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner, Shamsul Amar Ramli, suspek ditahan sepasukan polis diketuai Inspektor Mohd. Shaipudin Mohamed dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Ketika tangkapan dibuat kira-kira pukul 5.15 petang, suspek cuba melarikan diri dengan melanggar kenderaan polis sehingga menyebabkan kecederaan pada kaki dan tangan anggota bertugas.

“Susulan itu, satu das tembakan dilepaskan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta jenis Honda Civic berwarna putih yang digunakan suspek ketika dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan menuju ke Johor, ” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, penangkapan suspek adalah susulan penemuan sebuah kereta mewah jenis Toyota Vellfire dekat kawasan parkir kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 November pukul 10.40 malam.

Sementara pada pukul 7.50 malam pada 4 November pula, polis menemukan selaras senapang patah jenis Webley & Scott milik bapa mangsa yang dicuri kedua-dua suspek sebelum dibuang di Jalan Dato Harun, Pulau Indah kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.

Hasil siasatan, suspek pertama didapati baru dibebaskan daripada tahanan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan mempunyai 58 kes jenayah lampau membabitkan 47 pelbagai jenayah dan 11 rekod berkaitan dadah serta lima daripadanya masuk dalam senarai dikehendaki.

Sementara suspek kedua pula mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

Malah,  kedua-dua supek juga didapati mencuri kereta Honda Civic yang digunakan untuk melarikan diri dengan menukar nombor pendaftaran palsu di Taman Pelangi, Johor Bahru pada 29 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar memaklumkan pada 2 November lalu, mangsa yang berusia 32 tahun dan bekerja sebagai seorang pengurus sebuah stesen minyak pulang dari bercuti di Pulai Langkawi dan mendapati pagar dan pintu rumah bapanya di Kampung Sungai Kembong berada dalam keadaan terbuka.

“Pengadu membuat pemeriksaan dan mendapati senapang patah, lapan buah beg tangan jenama Coach,  Longcamp dan Bonia kepunyaan ibu mangsa serta kereta Toyota Vellfire berwarna putih milik adik iparnya hilang.

“Susulan laporan dan siasatan, supek didakwa berasal dari Johor Bahru, Johor dan Port Dickson, Negeri Sembilan berjaya ditahan dan beberapa barang miliknya dan dicuri dirampas,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, polis merampas dua buah telefon bimbit,  lima buah beg tangan,  sebuah beg galas mengandungi peralatan digunakan untuk pecah rumah, empat batang master key dan lapan buah alat kawalan jauh kenderaan pelbagai jenis dirampas.

Selain itu,  dua keping kad Touch ‘N Go, tiga buah alat pemproses kunci automatik,  sebuah peranti Smart Tag,  sebuah mesin gerudi dan seunit palam universal turut dirampas.

Tambah Shamsul Amar lagi, mahkamah membenarkan reman terhadap kedua-dua suspek selama enam hari bermula 6 hingga 11 November.

Kedua-dua suspek kemudian disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau didenda dan disebat bagi kesalahan berulang.

Mereka turut disiasat di bawah 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta denda. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN