Perlis catat peningkatan kes penipuan dalam talian sebanyak RM5.3 juta - Utusan Malaysia

Perlis catat peningkatan kes penipuan dalam talian sebanyak RM5.3 juta

SURINA SAAD (kiri) pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 Kontinjen Perlis di Pasar Raya Giant Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis mencatatkan peningkatan kes jenayah penipuan dalam talian sebanyak 328 kes dari awal tahun hingga Oktober lalu dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM5.3 juta.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, jumlah tersebut lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan tahun lalu iaitu sebanyak 315 kes membabitkan jumlah kerugian sebanyak RM4.3 juta.

Katanya, walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi membanteras jenayah tersebut termasuk melalui kempen kesedaran, berita televisyen dan akhbar, namun, kes didapati terus meningkat.

“Perkara ini berlaku apabila mangsa menjadi panik setelah menerima panggilan daripada sindiket penipuan ini tambahan pula apabila diberitahu bahawa akaun mereka digunakan untuk pengubahan wang haram. 

“Mereka kemudian terus mendedahkan maklumat peribadi tanpa memastikan dahulu dengan agensi yang berkaitan.

“Sepatutnya, apabila berlaku perkara sebegini, mangsa perlu mengambil butiran individu yang menelefon mereka itu dan kemudian memutuskan panggilan telefon tersebut serta segera membuat pengesahan dengan pihak berkaitan sama ada bank, polis atau sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) 2021 Kontinjen Perlis di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Surina berkata, kompaun berkaitan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkurangan sejak negeri ini memasuki fasa tiga dan empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kalau ada pun, melibatkan individu tidak memakai pelitup muka dan tidak mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis. Kebanyakan masalah tidak patuh SOP itu berlaku di sekitar kawasan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perlis, Deputi Superintenden Mohd Nor Daud memberitahu, sindiket penipuan Love Scam pula mencatatkan penurunan pada tahun ini dengan hanya tiga kes sahaja sejak awal tahun.

“Ini menyaksikan penurunan sebanyak 70 peratus berbanding tahun lalu. Saya selalu war-warkan untuk mengamalkan konsep 3T bagi mengelakkan 1T.

“3T terdiri daripada tanya, teliti dan tamak. Tanya dan teliti sesuatu perkara itu dan jangan juga tamak apabila melihat sesuatu itu dijual pada harga yang tidak munasabah. Ini bagi mengelak daripada 1T iaitu terpedaya,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya