PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengumumkan penamatan amaran tsunami yang dikeluarkan sebelum ini susulan gempa bumi kuat di luar pesisir Mindanao, Filipina pagi tadi.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, nasihat tsunami yang dikeluarkan pada pukul 8.36 pagi itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari.
Menurut kenyataan tersebut, ia merupakan maklumat terakhir yang dikeluarkan berhubung kejadian gempa bumi berkenaan melainkan terdapat perkembangan atau maklumat baharu daripada pihak berkuasa.
Penamatan nasihat itu dibuat selepas pemantauan terhadap gempa bumi kuat di luar pesisir Mindanao yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya tsunami di beberapa kawasan pesisir termasuk Sabah.
Terdahulu, ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu, hari ini, susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala richter yang berlaku di Mindanao, Filipina.
MetMalaysia menjangkakan tsunami itu akan melanda kawasan terbabit sekitar pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini. – UTUSAN









