Isu pelarian tidak boleh diurus secara emosi - Saifuddin

Isu pelarian tidak boleh diurus secara emosi – Saifuddin

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika gimik perlancaran Buku Pelan Tindakan Menangani Ancaman Dadah dan Bahan Negara 2026- 2030 pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh mengurus isu pelarian di negara ini berdasarkan emosi atau sentimen semata-mata.

Sebaliknya, pendekatan yang diambil perlu bersifat pertimbangan keselamatan dan prinsip kemanusiaan yang seimbang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun terdapat desakan memuncak serta naratif berbentuk emotif terutamanya dalam kalangan pengguna media sosial yang mahu kumpulan itu diusir segara, namun tanggungjawab pentadbiran negara menuntut tindakan dan pertimbangan yang jelas.

“Kalau mereka ada pilihan, adakah mereka akan datang ke sini ketika kampung halaman mereka dibakar, wanita dirogol, identiti diri tidak diberikan, masjid dan kampung dimusnahkan.

“Dalam keadaan itu, apa pilihan mereka ada? Mereka sanggup menempuh lautan luas, dalam banyak-banyak negara, Malaysia menjadi destinasi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Pada 4 Jun lalu, media melaporkan petisyen yang menggesa penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga telah meraih lebih 195,000 tandatangan setakat Khamis.

Petisyen yang dilancarkan oleh akaun Aku Anak Malaysia pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik tersebut.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, kerajaan tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan negara, namun pada masa sama, pertimbangan kemanusiaan tidak boleh diabaikan.

“Wujud fitnah di luar sana yang mendakwa kononnya kerajaan seolah-olah memberikan identiti diri secara sewenang-wenangnya kepada pelarian, seolah-olah kerja Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kamu pelarian? Ini ambil kad pengenalan.

“Seolah negara kita ini tidak ada sistem, tidak ada undang-undang, macam negara koboi, begitu cuba digambarkan aspek keselamatan, tapi tidak, kita tidak akan berkompromi sama sekali,” ujarnya.

Justeru, Saifuddin berkata, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan ketenteraman awam, penyelesaian isu tersebut bukan semudah mengikut sentimen emosi untuk menghalau secara melulu atau menutup mata.

“Kita tidak boleh mengelak daripada menguruskannya, kena uruskan dengan bijaksana, menguruskan dengan ihsan tetapi tetap mengambil kepentingan keselamatan negara, rakyat dan kedudukan kita di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, JPN membuat satu laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Myanmar mengakui mempunyai MyKad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN