MACHANG: Sembilan sekeluarga membabitkan dua generasi dari Kampung Simpul Berlubang di sini, terpaksa memekakkan telinga apabila digelar ‘warga asing’ gara-gara tidak mempunyai sijil kelahiran dan MyKad.
Bagaimanapun, penantian selama antara lima hingga 44 tahun itu berakhir apabila mereka menerima dokumen pengenalan diri menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) yang disampaikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kelmarin.
Wakil keluarga berkenaan, Fauziah Mohamad, 32, berkata, ketiadaan dokumen itu bukan sahaja menjejaskan maruah diri malah menutup peluang buat mereka untuk mendapatkan bantuan kerajaan termasuk kemudahan kesihatan serta pendidikan.
“Selain itu, saya dan adik-beradik lain termasuk empat anak tidak dapat bersekolah. Lebih menyedihkan, kami semuanya buta huruf. Saya akui anak-anak tidak mempunyai dokumen kerana kesilapan sendiri yang tidak tampil berbuat demikian.
“Saya juga tidak bergaul dengan orang sekeliling, sebaliknya hanya bergaul dalam kalangan keluarga sehingga tiada pihak mengetahui kesulitan yang kami alami,” katanya.
Selain Fauziah, adik-beradiknya iaitu Mohd. Lazim, 37; Suhaimi, 39; Asliza, 41 dan Norafidah, 44 turut menerima dokumen berkenaan.
Lima lagi penerima ialah anak Fauziah iaitu Suhana Wahida, 18; Mohd. Asyraf, 16; Mohd. Adam Danial, 13 dan Siti Aisyah, 7.
Fauziah berkata, impian memiliki dokumen pengenalan diri bermula apabila dia bertemu seorang wanita berusia lingkungan 50-an di Shah Alam, Selangor, awal bulan ini.
Katanya, dalam pertemuan itu dia memaklumkan kepada wanita berkenaan bahawa dia dan anak-anak tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Wanita berkenaan kemudian menghubungi seorang aktivis dikenali Abbe Hae (Mohd. Azhan Mohd. Adnan) daripada Pertubuhan Jejak Jalanan. Anak perempuan saya, Suhana Wahida juga menghantar mesej kepada Abbe Hae melalui TikTok bagi menceritakan masalah kami,” katanya. – UTUSAN










