Menyamar juruteknik 'pukau' jurujual, curi wang kedai - Utusan Malaysia

Menyamar juruteknik ‘pukau’ jurujual, curi wang kedai

RAKAMAN CCTV antara suspek dan jurujual kedai aksesori telefon itu di Puncak Alam, Kuala Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai juruteknik komputer diburu selepas melarikan wang tunai daripada sebuah kedai aksesori telefon di Puncak Alam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.15 petang itu, suspek berusia lingkungan 40-an dipercayai memperdaya jurujual premis berkenaan yang mendakwa seolah-olah turut dipukau.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pengadu didatangi lelaki itu yang memperkenalkan diri sebagai juruteknik Bahagian Sistem Komputer daripada ibu pejabat syarikat kedai tersebut.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan jurujual itu mencetak penyata akaun bagi menyemak hasil jualan dan mengira wang di kaunter yang berjumlah RM750.

“Sejurus selesai mengira, pengadu meletakkan wang berkenaan di tepi meja kaunter tersebut.

“Suspek kemudian meminta supaya menandatangani beberapa resit dan membuat sibuk sehingga pengadu berasa seolah-olah sudah dipukau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ramli, siasatan awal mendapati suspek memasuk kedai itu menerusi laluan utama dan terus menemui pengadu di kaunter pembayaran.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati pengadu  mengeluarkan wang daripada kaunter dan meletakkannya di tepi mesin itu.

“Suspek kemudian mengambil wang berkenaan dan mengiranya di hadapan pengadu lalu memasukkan ke dalam poket,” ujarnya.

Tambah beliau, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan pihaknya sehingga kini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua peniaga atau pekerja lebih berwaspada dan segera menghubungi polis sekiranya mencurigai tindakan individu seumpama itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya