KUALA LUMPUR: Kempen untuk pilihan raya haruslah dilaksana secara sihat dan berhemah bagi menunjukkan kematangan setiap parti politik yang terlibat.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak yang didakwa telah merosakkan instrumen kempen Perikatan Nasional (PN).
“Saya menyeru supaya kita berkempen dengan cara yang baik. Janganlah sehingga merosakkan bahan kempen parti lain. Budaya samseng dan budaya ekstrem mesti dihentikan serta merta dan dipadam daripada lanskap politik negara.
“Saya menerima aduan daripada petugas kami mengenai kerosakan poster-poster, kain rentang dan tiang bendera Perikatan Nasional di Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana. Kejadian ini mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Tambah Wan Saiful, pihaknya tidak akan kompromi jika mendapati ada budaya samseng sepanjang tempoh berkempen di Melaka.
“Saya telah mengarahkan jentera pilihanraya Perikatan Nasional menyiasat jika ada kerosakan di DUN-DUN lain.
“Jentera PN sedang memeriksa jika kerosakan ini dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Laporan akan kami buat kepada pihak berkuasa sekiranya kami mendapati ada unsur samseng dalam kempen ini,” katanya.
DUN Kota Laksamana mempunyai 28,777 pengundi, menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon PN, Fong Khai Ling, Low Chin Hong (Barisan Nasional) dan penyandang kerusi, Low Chee Leong (Pakatan Harapan).
Pada Pilihan Raya Umum 2018, Chee Leong menang dengan majoriti 16,173 undi. -UTUSAN ONLINE










