Wang RM1.3 juta milik eksekutif syarikat multinasional lesap - Utusan Malaysia

Wang RM1.3 juta milik eksekutif syarikat multinasional lesap

MOHD. MAHIDISHAM ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan seorang eksekutif sebuah syarikat multinasional menyerahkan kata laluan guna sekali (OTP) kepada individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Ahad lalu mengundang padah apabila wang RM1.3 juta miliknya lesap.

 

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 42 tahun telah dihubungi seorang individu mendakwa pegawai LHDN dan mengatakan sebuah syarikat didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600.76.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa kemudian diminta mendedahkan maklumat akaun bank peribadinya supaya wang simpanan dalam banknya dipindahkan ke akaun ‘Bank Negara’ untuk tujuan siasatan.

 

Kata beliau, mangsa kemudian mengesan terdapat beberapa transaksi pindahan wang dibuat daripada akaun bank peribadinya ke beberapa akaun bank lain membabitkan simpanan berjumlah RM1.3 juta.

 

“Curiga dengan perkara itu, mangsa kemudian membuat semakan di LHDN dan mendapati tiada sebarang siasatan dijalankan ke atas dirinya.

 

“Mangsa berasa tertipu dan membuat satu laporan polis, semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut kini sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Mahidisham berkata, sebanyak 442 kertas siasatan berkaitan penipuan Macau Scam membabitkan kerugian mencecah RM20.5 juta dibuka JSJK, Kuala Lumpur bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lalu.

 

Katanya, modus operandi sindiket penipuan Macau Scam ialah dengan menakut-nakutkan mangsa bahawa mereka akan disiasat pihak berkuasa dan memaksa mangsa mendedahkan maklumat akaun bank.

 

“Jika menerima panggilan daripada mana-mana pihak berkuasa yang mendakwa mahu membuat siasatan, dapatkan dulu butiran pemanggil seperti nama dan pangkat pemanggil, serta tempat bertugas.

 

“Orang ramai juga perlu membuat panggilan semula kepada agensi berkenaan melalui talian rasmi bagi membuat semakan dan mendapatkan kepastian berhubung kesahihan panggilan berkenaan,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun dan OTP atau Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN