PETALING JAYA: Seorang wanita warga Singapura yang ditahan kerana disyaki mencederakan kanak-kanak autisme di sebuah pusat asuhan di Ampang, awal bulan ini bakal didakwa di mahkamah esok.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 51 tahun itu akan didakwa pada pukul 10 pagi di Mahkamah Ampang.
Menurut beliau, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda.
Selain itu, katanya, suspek juga akan didakwa di bawah Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada pas sosial tamat tempoh.
Mohamad Farouk berkata, jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.
“Siasatan telah selesai dan kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
“Terima arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, mahkamah melanjutkan tempoh reman terhadap wanita warga Singapura itu berhubung kes cederakan kanak-kanak lelaki autisme selama tiga hari hingga 8 Oktober lalu bagi membantu siasatan.
Media sebelum itu melaporkan seramai lima saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes pukul melibatkan seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun.
2 Oktober lalu, polis telah menahan suspek yang juga pengurus di pusat asuhan itu di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada pukul 1.50 pagi.
Ini selepas laporan dibuat bapa mangsa yang mendakwa anak lelakinya berusia enam tahun itu didera dan dicederakan.
Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook mendakwa anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.
Hantaran yang dibuat itu kemudian tular dan netizen meminta tindakan tegas diambil ke atas pemilik pusat intervensi berkenaan.- UTUSAN ONLINE










