PUTRAJAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak dapat dijalankan serentak berikutan isu logistik dan persiapan melibatkan para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perjalanan proses demokrasi itu menelan belanja keseluruhan kira-kira RM167.4 juta.
Hari mengundi PRN Johor ditetapkan 11 Julai manakala bagi Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini melibatkan seramai 3.61 juta pengundi berdaftar.
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 5 Jun lalu yang berlaku secara mengejut iaitu empat hari selepas Johor menyebabkan situasi luar jangka.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun manakala hari pengundian awal pada 7 Julai.
Katanya, bagi PRN Negeri Sembilan pula, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai (Jumaat) bagi PRN Johor Ke-16.
“Manakala bagi urusan PRN Negeri Sembilan Ke-16 ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai (Jumaat),” katanya selepas mesyuarat khas bagi kedua-dua PRN di sini, semalam.
Ramlan berkata, kumpulan petugas di Johor akan dihantar membantu PRN Negeri Sembilan selepas 11 Julai.
“(DUN) Negeri Sembilan itu snap (mengejut). Jadi keadaan langsung tidak sedia. Negeri Sembilan cuma ada peti undi sahaja.
“Jadi kita perlukan masa untuk mereka (petugas SPR) betul-betul fokus dan kita selesaikan (PRN) Johor, baru kita akan bawa semua kumpulan petugas bantu Negeri Sembilan. Kalau buat serentak, persiapan kita memang tak sempatlah masa itu,” katanya.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan di Johor adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei lalu.
Katanya, ia mengandungi seramai 2,727,926 pemilih terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 tentera serta pasangan dan 12,710 polis serta pasangan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Ujarnya, bagi Negeri Sembilan pula, DPPR yang digunakan dikemas kini sehingga 4 Jun lalu melibatkan seramai 889,490 pemilih iaitu 867,151 pengundi biasa, 16,884 tentera serta pasangan dan 5,455 polis serta pasangan.
Beliau berkata, kedua-dua DPPR dijadual mula dijual pada 23 Jun ini.
“Di Johor SPR telah melantik 56 pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh 187 penolong pegawai pengurus manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
Katanya, di Negeri Sembilan, SPR melantik lapan pegawai pengurus pilihan raya, dibantu 95 penolong pegawai pengurus dan menubuhkan 36 PP-KPR.
“Bagi PRN Johor, sebanyak 56 pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan manakala bagi PRN Negeri Sembilan pula sebanyak lapan PPC dan lapan PPRU.
“Seramai 42,971 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut pada PRN Johor, manakala sebanyak 1,076 pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,889 tempat mengundi/saluran dan 64 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 91 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.
“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,140 dengan 4,980 tempat mengundi/saluran. PRN Johor dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta,” katanya.
Ramlan berkata, di Negeri Sembilan, seramai 15,344 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut.
“PRN Negeri Sembilan dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM80.6 juta,” katanya. – UTUSAN










