Perjalanan hidup Dr. Hamidah Mohd. Salleh sarat dengan kisah pengorbanan dan ketabahan. Pernah berkhidmat dalam angkatan tentera serta menyertai misi pengaman antarabangsa sebelum membuat keputusan meninggalkan kerjaya itu.
Berani ubah haluan, Dr. Hamidah pilih keluarga, impian
Tidak ramai wanita yang sanggup melalui latihan ketenteraan, menyertai misi pengaman antarabangsa di kawasan konflik serta mengendalikan kes kecemasan, sebelum akhirnya memilih laluan baharu dalam dunia perubatan estetik.
Perjalanan hidup Dr. Hamidah Mohd. Salleh membuktikan kejayaan bukan sekadar tentang pangkat, anugerah atau pencapaian profesional, tetapi bagaimana seseorang terus memberi manfaat kepada orang lain walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang kehidupan.
Dilahirkan dan dibesarkan di Terengganu dalam keluarga sederhana, beliau membesar dengan nilai dan prinsip hidup yang membentuk dirinya hingga hari ini.
Sejak kecil, beliau gemar menghabiskan masa di luar rumah bermain di hutan, sungai dan kawasan kampung bersama rakan-rakan serta sepupu.

Pada awalnya, minat untuk menjadi doktor tidak hadir sejak kecil. Seperti kanak-kanak lain, beliau pernah bercita-cita menjadi askar, polis serta meminati dunia haiwan selepas terpengaruh dengan dokumentari alam semula jadi.
Namun, pengalaman keluarga yang berdepan kesukaran mendapatkan rawatan pada ketika bilangan doktor masih terhad memberi kesan mendalam kepadanya.
Sejak itu, dia memasang hasrat untuk menjadi doktor agar dapat membantu lebih ramai pesakit pada masa hadapan.
“Sejak itu saya rasa saya mahu jadi doktor sebab masa itu doktor tidak ramai,” katanya kepada Seri.
Dari pelajar perubatan ke pegawai tentera
Selepas menamatkan pengajian matrikulasi, Dr. Hamidah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Peluang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hadir secara tidak dirancang apabila beliau menerima biasiswa tentera ketika sesi pendaftaran pengajian.
Pada awalnya, beliau menyangka ia sekadar bantuan pembiayaan pengajian, namun selepas tamat pengajian beliau perlu menjalani latihan ketenteraan dan berkhidmat sebagai pegawai tentera.
Beliau kemudiannya mengikuti latihan ketenteraan selama dua bulan meliputi latihan menembak, navigasi, penggunaan kompas, kawad, latihan hutan serta pembentukan ketahanan mental dan fizikal.
Walaupun beliau tidak pernah merancang untuk menjadi anggota tentera, beliau menerima cabaran itu sebagai pengalaman yang banyak membentuk disiplin diri.

Menurutnya, latihan itu bukan sahaja mengajar disiplin dan ketahanan fizikal, tetapi juga membentuk cara berfikir yang lebih tegas dan tidak mudah berundur apabila berdepan tekanan.
“Latihan ketenteraan ini mengajar saya untuk menguatkan minda dan redah sahaja rintangan yang ada tanpa berfikir panjang, teruskan sampai habis,” katanya.
Selain itu, pengalaman dalam tentera turut membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin.
Beliau bukan sahaja bertugas merawat pesakit, tetapi juga memimpin anggota bawahan serta memastikan kebajikan staf sentiasa terjaga.
Baginya, seorang pemimpin perlu benar-benar memahami tugas dan cabaran orang di bawah sebelum memberi arahan.
“Kalau kita mahu memimpin orang, kita perlu tahu apa yang mereka buat dan apa cabaran mereka,” katanya.
Berkhidmat di bumi Sahara Barat
Antara pengalaman paling bermakna ialah apabila beliau menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sahara Barat selama enam bulan.
Di kawasan padang pasir yang terpencil itu, beliau bertanggungjawab menjaga kesihatan anggota pengaman dari pelbagai negara yang bertugas dalam persekitaran mencabar.

Pengalaman tersebut membuka matanya terhadap realiti kehidupan masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan, termasuk komuniti di kawasan gurun yang mempunyai akses sangat terhad kepada kemudahan asas.
Situasi itu menjadikannya lebih menghargai keamanan, kestabilan dan kemudahan yang dinikmati di Malaysia.
“Bila berada di sana, kita jadi lebih bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.
Sepanjang misi tersebut, beliau turut berdepan pelbagai situasi kecemasan termasuk kes kemalangan jerangkap samar serta kes serangan jantung yang memerlukan pemindahan segera menggunakan helikopter.
Pengalaman paling mencemaskan pula, apabila beliau mengiringi pesakit serangan jantung dalam penerbangan helikopter selama kira-kira 12 jam dalam keadaan cuaca buruk dan ribut pasir yang mencabar.
Cabaran sebagai doktor tentera wanita
Menurut Dr. Hamidah, tugas sebagai doktor tentera memerlukan keseimbangan antara peranan sebagai doktor dan pegawai tentera.
Beliau bukan sahaja bertanggungjawab merawat pesakit, tetapi dalam masa yang sama perlu memastikan disiplin serta arahan ketenteraan dipatuhi.

Cabaran terbesar yang dihadapinya ialah berjauhan dengan keluarga, terutama apabila beliau dan suami yang turut berkhidmat dalam tentera ditempatkan di lokasi berbeza untuk tempoh yang panjang.
Sebagai pegawai wanita dalam persekitaran yang majoritinya lelaki, beliau juga perlu sentiasa mengekalkan profesionalisme, ketegasan dan cara komunikasi yang sesuai ketika bertugas.
Dalam mengharungi semua cabaran tersebut, beliau mengakui pernah berasa penat dan hampir berputus asa, khususnya ketika anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian lebih.
“Bila kita berada dalam situasi yang sangat penat dan jauh daripada keluarga, kita kena ingat balik kenapa kita bermula dan apa tanggungjawab yang kita pikul,” katanya.
Berhenti tentera demi keluarga
Selepas 10 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dr. Hamidah membuat keputusan besar untuk menamatkan perkhidmatan ketenteraan.
Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan keperluan keluarga, terutamanya apabila anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan perhatian.
Beliau mengakui keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerana kerjaya dalam tentera telah banyak membentuk dirinya daripada segi disiplin, kepimpinan dan pengalaman hidup.
Namun, pada masa yang sama beliau merasakan fasa kehidupan ketika itu memerlukan keutamaan diberikan kepada keluarga dan kestabilan rumah tangga.
Daripada keputusan itu, beliau membuka lembaran baharu dalam dunia perubatan estetik, meneruskan kerjaya dalam bidang kesihatan tetapi dalam bentuk yang berbeza daripada perkhidmatan ketenteraan.
Membina klinik Lovina
Selepas meninggalkan perkhidmatan tentera, Dr. Hamidah memilih untuk menceburi bidang perubatan estetik selepas melihat sendiri banyak kes berkaitan bidang tersebut ketika bekerja di klinik.
Dengan sokongan suami, beliau menubuhkan Klinik Lovina dan memulakan perjalanan sebagai usahawan dari bawah.
Permulaan itu tidak mudah kerana perlu mempelajari aspek baharu seperti pengurusan kewangan, operasi serta selok-belok dunia perniagaan.
Namun baginya, kejayaan tidak datang secara besar-besaran, sebaliknya dibina melalui usaha kecil yang dilakukan secara konsisten.

Hasil usaha dan dedikasi yang berterusan, beliau kini telah berjaya membuka dua cawangan Klinik Lovina, manakala pembukaan klinik ketiga sedang dalam proses dan dijangka menjadi satu lagi langkah penting dalam perkembangan perniagaannya.
Dalam bidang estetik, ia berbeza daripada industri kecantikan biasa kerana ia melibatkan rawatan perubatan bagi masalah kulit seperti jerawat, parut dan pigmentasi.
Beliau turut memberi penekanan terhadap pematuhan syariah serta memastikan setiap rawatan dibuat berdasarkan ilmu dan rujukan perubatan yang tepat.
Kejayaan sebenar
Dr. Hamidah berkata, kejayaan bukan terletak pada gelaran atau pengiktirafan, tetapi pada kemampuan melakukan sesuatu yang disukai sambil memberi manfaat kepada orang lain.
Kejayaan juga boleh hadir dalam bentuk yang lebih sederhana, termasuk masa berkualiti bersama keluarga atau melihat kehidupan orang lain menjadi lebih baik.
“Bila kita suka apa yang kita buat dan benda itu memberi manfaat kepada orang lain, itu kejayaan,” katanya.
Perjalanan beliau daripada doktor tentera hingga usahawan estetik membuktikan kejayaan bukan sekadar destinasi, tetapi perjalanan untuk memberi makna kepada kehidupan orang lain.










