MARANG: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menjadi penentu sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan disingkirkan daripada Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana penyingkiran mana-mana parti dalam PN bergantung kepada keputusan suara majoriti anggota komponen seperti ditetapkan dalam perlembagaannya.
PN terdiri daripada empat parti komponen iaitu Pas selaku parti terbesar dan sebagai Pengerusi, diikuti Bersatu, Gerakan dan MIPP.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, terpulang kepada Gerakan dan MIPP sama ada mahu menyokong Pas atau Bersatu untuk kekal dalam PN, setelah kedua-dua parti mengakhiri kerjasama politik.
“Terpulang kepada parti rakan-rakan lain. (Mengikut Perlembagaan PN) mesti majoriti parti anggota membuat keputusan,” katanya ketika ditemui di Masjid Rusila di sini, semalam.
Beliau ditanya laporan muka hadapan Utusan Malaysia semalam, berhubung dakwaan Pas merancang menyingkirkan Bersatu daripada PN, jika berjaya mempengaruhi Gerakan dan MIPP.
Pemimpin tertinggi PN yang tidak mahu dinamakan berkata, satu mesyuarat telah diadakan antara Pas dan dua parti itu bagi menyingkirkan Bersatu.
Isnin lalu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bersetuju menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu, selepas meneliti kedudukan dan hala tuju berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Pas mahu meneroka suatu persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah termasuk menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu.
Ditanya PN kini kelihatan cacamarba, Abdul Hadi berkata, Pas adalah Pengerusi PN manakala Bersatu masih ahlinya, namun terdapat dua lagi parti komponen.
“Terpulang kepada dua-dua parti ini hendak sokong kita atau sokong Bersatu. Kemudian Pengerusi ini, dia buat perlembagaan. Pengerusi ini ada kuasa seperti hendak bagi simbol pilihan raya dan lain-lain.
“Dia buat seperti itu nak ikat kita. Sebab itu kita hendak lepas daripada ikatan itu, kita terpaksa buat begitulah (jadi Pengerusi),” katanya.
Abdul Hadi berkata, beliau akan mengumumkan beberapa perkara penting berhubung perkembangan politik semasa, ketika merasmikan Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu turut mengesahkan, beliau mengadakan pertemuan dengan ahli gerakan Reset diketuai Datuk Seri Hamzah Zainudin di Rusila, kelmarin.
Katanya, selepas konvensyen itu, Pas akan mengadakan mesyuarat Rabu ini dan membuat beberapa keputusan mengenai hala tuju politiknya.
“Esok (hari ini) ada majlis di Tanah Merah, insya-Allah saya akan umumkan beberapa perkara. Rabu ada mesyuarat (Pas) Pusat di Kuala Lumpur, akan ada keputusan kita buat,” katanya.
Ditanya sama ada gerakan Reset akan bersama PN ekoran penamatan kerjasama dengan Bersatu, beliau berkata, ia sedang dinilai atas dasar mahu melibatkan seramai mungkin orang Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam gabungan berkenaan.
Abdul Hadi turut menafikan dakwaan Pas menghalang kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, sebaliknya mendakwa Bersatu yang bertindak demikian.
Beliau berkata, Pas bersetuju dengan kemasukan parti-parti lain termasuk Pejuang tetapi Bersatu mahu mereka berada dan menyokong di luar. – UTUSAN










