PETALING JAYA: Rakuten Trade Sdn. Bhd. (Rakuten Trade) menyemak turun unjuran Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tahun ini lebih rendah kepada 1,770 mata berbanding 1,800 mata sebelum ini memandangkan ketidaktentuan yang masih membayangi pasaran.
Ketua Analisis Rakuten Trade Research, Kenny Yee Shen Pin berkata, gelombang politik baru-baru ini mungkin akan menambah ketidaktentuan pasaran seperti yang ditunjukkan oleh aliran keluar bersih dana asing pada Mei.
“Ia secara kebetulan selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan daripada Parti Keadilan Rakyat untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
“Tumpuan juga akan diberikan kepada pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
“Bagaimanapun, pasaran tempatan Malaysia masih dianggap sebagai pasaran yang lebih stabil dalam rantau ini dan dilihat sebagai tempat perlindungan modal,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media secara maya Rakuten mengenai unjuran pasaran suku ketiga.
Sementara itu, beliau berkata, mata wang tempatan pula dijangka bergerak dalam julat sekitar RM3.80 hingga RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah pada tahun ini.
Ujarnya, dari segi mata wang, kadar faedah dan keadaan tunai, keadaan dilihat tidak begitu memberangsangkan.
“Nisbah tertentu juga disebut berada pada tahap yang lebih tinggi berbanding AS, menunjukkan terdapat tekanan dalam sistem kewangan.
“Pergerakan kadar faedah pula banyak dipengaruhi oleh dasar AS, dan keadaan ini menimbulkan risiko yang lebih tinggi kepada pasaran.
“Selain itu, keyakinan terhadap AS dilihat sedikit berkurang, yang turut memberi kesan kepada pasaran bon dan aliran modal global,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, ketidaktentuan berhubung perjanjian antara AS dan Iran terus memberi kesan kepada pergerakan harga komoditi global, termasuk emas.
“Perkembangan ini turut dipengaruhi oleh keadaan pasaran buruh di AS yang lebih panas daripada jangkaan.
“Situasi ini meningkatkan jangkaan bahawa Fed AS akan menaikkan kadar faedah, sekali gus menyokong pengukuhan dolar AS berbanding mata wang dan komoditi lain.
“Pengukuhan dolar biasanya memberi tekanan kepada harga komoditi termasuk emas.
“Bagi emas, walaupun ada penurunan, sebenarnya baru-baru ini terdapat peningkatan dalam prestasi pasaran emas,” katanya. – UTUSAN










