IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak akan mengemukakan bukti dan fakta-fakta bagi menjawab isu tanah rizab Melayu di negeri ini yang didakwa berpindah milik kepada bukan Melayu.
Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak benar, Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya akan membuat penjelasan terperinci mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, pihaknya sedia membentangkan fakta bagi menyangkal laporan bahawa seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di negeri ini dipindah milik akibat penyelewengan sindiket didalangi oleh pegawai kerajaan.
“Penjelasan awal kepada dakwaan berkenaan ialah tidak ada pembatalan tanah rizab Melayu di kawasan yang dimaksudkan.
“Saya akan membuat penjelasan lanjut mengenainya berserta bukti-bukti dalam masa terdekat, kita akan beri penjelasan bersandarkan fakta,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Mohamad Fariz menjawab demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman berhubung isu tanah rizab Melayu.
Dakwa Hamidah, sindiket itu dikatakan menyasarkan tanah di Sitiawan yang digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1990.
Selain itu, Putra Perak turut memaklumkan pihaknya juga pernah membuat laporan polis meminta perkara itu disiasat sama ada berlaku salah laku terhadap pemberian milikan lot-lot tanah rizab Melayu tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sedia menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Hamidah sebelum ini.
“Saya semak terlebih dahulu statusnya (laporan polis yang dibuat Putra),” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp.
Dalam pada itu, di Kuala Lumpur kerajaan digesa menggantikan semula semua tanah rizab Melayu yang hilang akibat pembangunan dan penyelewengan.
Pengerusi Biro Tanah Simpanan Melayu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Che Ibrahim Che Idris berkata kehilangan tanah rizab Melayu berlaku disebabkan kurang kesungguhan untuk mempertahankan hak bumiputera.
Menurut beliau, disebabkan kurangnya kesungguhan tersebut, mudah untuk pihak tertentu melakukan penyelewengan sehingga tanah rizab Melayu dipindah milik tanpa disedari.
“Kenapa 50 peratus tanah rizab Melayu seperti yang diwasiatkan oleh Raja-Raja Melayu tidak dilaksanakan dengan sewajarnya? Apabila tanah rizab diambil, kerajaan hendaklah menggantikannya dengan tanah yang harganya setimpal.
“Kerajaan perlu bertanggungjawab, yang terlibat kena ambil tindakan, malah kerajaan negeri boleh mencabar isu pindah milik tanah rizab Melayu di mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada masa sama, Che Ibrahim berpendapat kerajaan seharusnya merangka strategi memperkayakan golongan bumiputera dengan membangunkan tanah rizab Melayu, bukannya membiarkan dimiliki orang bukan Melayu.
“Sekarang ini seolah-olah tidak ada keutamaan untuk meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Tanah perlu diekonomikan jika mahu melihat orang Melayu di hadapan.
“Kita mempunyai masa sehingga 2050 untuk melihat orang Melayu berjaya. Jika bina bandar baharu dan digitalkan ekonomi, nilai tanah rizab Melayu akan naik sehingga berbilion ringgit, malah boleh cairkan aset tanah jadi modal perniagaan, barulah dapat memperkayakan orang Melayu,” katanya.- UTUSAN










