Minyak pelincir tiruan lebih RM100,000 dirampas - Utusan Malaysia

Minyak pelincir tiruan lebih RM100,000 dirampas

SEORANG anggota penguat kuasa KPDNHEP memeriksa pelbagai minyak pelincir tiruan berjenama Shell dalam satu serbuan di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai minyak pelincir tiruan untuk kegunaan kenderaan berat bernilai RM111,300 dalam satu operasi di sebuah gudang di Subang Jaya, Selangor semalam.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, minyak pelincir tiruan tersebut menggunakan jenama Shell dengan berat keseluruhan berjumlah 10,040 liter.

Menurut beliau, seramai sembilan pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi itu hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagang berdaftar tersebut dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Terdapat set komputer yang disambungkan dengan mesin pencetak disyaki telah digunakan untuk menghasilkan tanda cap dagangan berdaftar berkenaan. 

“Label dan penutup tong cap dagang Shell juga dijumpai. Kesemua barang-barang tersebut berserta dokumen-dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Iskandar Halim berkata, berdasarkan keterangan lisan daripada pengurus premis, minyak pelincir daripada tong drum berkapasiti 200 liter telah dipindahkan secara manual ke dalam tong berkapasiti 20 liter bagi tujuan pasaran tempatan sekitar Lembah Klang.

Katanya, setiap satu tong 20 liter minyak pelincir tiruan itu dijual pada harga sekitar RM185 hingga RM240.

Dalam serbuan itu, menurut beliau, dua lelaki tempatan berumur 34 dan 53 tahun yang berada di tempat kejadian telah ditahan dan permohonan tahanan reman akan dibuat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Selain itu, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan suatu perihal dagangan palsu bagi apa-apa barang dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya.

Beliau turut mengingatkan mana-mana individu atau peniaga jangan sekali-kali menjalankan urus niaga barang tiruan.

Katanya, pemeriksaan dan operasi membanteras kegiatan itu akan dijalankan secara berterusan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan disarankan membuat laporan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03-88826088 di Enforcement Command Centre (ECC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya