GEORGE TOWN: Sektor perhotelan di Pulau Pinang terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila kadar penginapan mencecah antara 90 hingga 100 peratus khususnya sempena cuti persekolahan ketika ini.
Pada masa sama, beberapa sektor lain khususnya perniagaan yang menyumbang kepada industri pelancongan juga menunjukkan peningkatan yang baik dan positif.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir semua lokasi tumpuan dipenuhi pengunjung atau pelancong dari dalam atau luar negara dan kebanyakan mereka dilihat tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan selain menikmati makanan yang terdapat di sini.
Meskipun terpaksa bersesak-sesak dalam keadaan cuaca panas, rata-rata pengunjung dilihat teruja untuk menikmati suasana percutian di Pulau Pinang.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Datuk Tony Goh berkata, peningkatan tempahan hotel didorong oleh pertambahan pelancong domestik yang mengambil kesempatan bercuti sempena cuti umum dan sekolah.
Katanya, berdasarkan statistik, hotel terletak berhampiran kawasan tumpuan ramai sama ada berdekatan pantai atau pusat bandar menjadi pilihan utama pelancong.
“Trend ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa Pulau Pinang kekal antara destinasi pilihan utama rakyat tempatan untuk bercuti, selain menawarkan pelbagai tarikan pelancongan, makanan dan aktiviti menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Goh berkata, majoriti pengunjung yang menginap di hotel-hotel di negeri ini adalah pelancong domestik dari pelbagai negeri.
“Kehadiran mereka secara tidak langsung turut memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan lain termasuk perniagaan makanan, pusat beli-belah dan pengangkutan,” katanya. – UTUSAN











