Sultan Kedah mahu UniSHAMS perkasa bidang perubatan, kaunseling

Sultan Kedah mahu UniSHAMS perkasa bidang perubatan, kaunseling

SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) perlu memberi perhatian serius kepada pembangunan bidang perubatan dan kaunseling.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, usaha itu penting bagi membolehkan kedua-dua bidang itu berpotensi menyumbang kepada kedudukan UniSHAMS dalam penarafan universiti di peringkat Asia.

Baginda bertitah, pihak universiti turut perlu memperkukuh program profesional lain yang diperkenalkan seperti kejururawatan, undang-undang dan perundangan syariah, pengurusan halal serta farmasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beta perkenan akan usaha UniSHAMS memperkenalkan program baharu seperti kejururawatan, undang-undang dan perundangan syariah, pengurusan halal serta farmasi kerana bidang-bidang ini merupakan bidang profesional yang amat diperlukan.

“Di kesempatan ini, beta menyeru agar bidang perubatan dan kaunseling turut diberikan perhatian serius, termasuk usaha memenuhi keperluan kualiti, akreditasi dan pengiktirafan yang bersesuaian supaya bidang-bidang ini berpotensi menyumbang kedudukan UniSHAMS dalam penarafan universiti di peringkat Asia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Konvokesyen UniSHAMS Kali Ke-28 yang menyaksikan seramai 1,039 graduan menerima ijazah masing-masing, manakala Tan Sri Azman Hashim dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam.

Dalam titah sama, Sultan Sallehuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) atas sumbangan menjayakan pembangunan kolej kediaman baharu universiti itu.

Baginda dimaklumkan kolej kediaman berkenaan mampu menempatkan 2,360 pelajar menerusi pembinaan empat blok bangunan lima tingkat.

Baginda turut berharap kemudahan utama termasuk rumah pengetua dan penolong pengetua, bilik bacaan, ruang rehat pelajar serta lif disediakan bagi memastikan keselesaan dan kemudahan warga kampus.

“Selain itu, kolej kediaman berkenaan juga perlu dilengkapi kafeteria yang selesa, kedai makanan dan minuman (f&b) yang terkini serta dobi layan diri.

“Beta juga menzahirkan penghargaan kepada The Weststar Group menerusi pengerusinya atas sumbangan membina sebuah masjid dan Smart Kompleks Islam bagi kemudahan warga UniSHAMS serta masyarakat sekitar,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin turut merakamkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Kongres Pendidikan Cordoba of Kedah dan pelancaran Pelan Strategik Cordoba of Kedah 2026-2030 pada 18 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini