ALOR SETAR: Kedah perlu memanfaatkan kekayaan hasil bumi, tanah pertanian yang subur serta sejarah dan warisan gemilang dimiliki negeri itu untuk terus melangkah ke hadapan.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, usaha itu perlu digerakkan menerusi semangat hijrah yang diterjemahkan dalam cara berfikir, pentadbiran, ekonomi dan pendidikan selain memperkukuh pembinaan akhlak serta integriti dalam kalangan rakyat.
“Semangat hijrah inilah yang amat diperlukan oleh negeri Kedah pada hari ini. Kita perlu berhijrah dalam cara berfikir, dalam pentadbiran, dalam ekonomi, dalam pendidikan dan yang paling utama dalam pembinaan akhlak serta integriti.
“Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, subur dengan tanah pertanian serta gemilang dengan sejarah dan warisan, Kedah mesti terus melangkah ke hadapan dengan berpaksikan ilmu, teknologi, tadbir urus yang baik dan perpaduan rakyat yang utuh,” titah baginda.
Titah baginda dibacakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sultan Sallehuddin bertitah, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar menandakan pertukaran angka dalam kalendar Islam sebaliknya membawa makna yang besar kepada perjalanan hidup umat Islam kerana sarat dengan pengajaran yang kekal relevan sepanjang zaman.
Baginda turut mengingatkan bahawa peristiwa hijrah Rasulullah SAW bersama para sahabat dari Mekah ke Madinah bukanlah suatu tindakan spontan sebaliknya disusun dengan penuh hikmah, kebijaksanaan dan tawakal demi mempertahankan akidah umat Islam daripada penindasan.
“Daripada peristiwa inilah lahirnya sebuah tamadun Islam yang berteraskan keadilan, ilmu, persaudaraan dan integriti. Hijrah menjadi titik mula kepada pembentukan sistem pemerintahan Islam yang tersusun sehingga Saidina Umar Al-Khattab menjadikannya permulaan kepada kalendar Islam.
“Namun, di sebalik sejarah itu, hijrah membawa pengertian yang jauh lebih mendalam. Hijrah yang sebenar ialah transformasi jiwa, perubahan pemikiran dan pembinaan akhlak. Ia menuntut kita meninggalkan kelemahan kepada kekuatan, meninggalkan kelalaian kepada keinsafan dan meninggalkan perpecahan kepada perpaduan,” titah baginda. – UTUSAN










