Kerajaan teliti titah Sultan Kedah, kembalikan status bebas cukai Langkawi

Kerajaan teliti titah Sultan Kedah, kembalikan status bebas cukai Langkawi

ANWAR Ibrahim menyantuni jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan akan meneliti cadangan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah supaya status bebas cukai di Langkawi dikembalikan bagi merancakkan semula sektor pelancongan di pulau itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu wajar diberi perhatian kerana pelancongan di Langkawi kini dilihat sedikit suram sehingga menjejaskan daya tarikan kepada pelancong domestik.

“Kita akan teliti, satu cadangan yang harus diberikan perhatian kerana kedudukan pelancongan di Langkawi itu malap sedikit.

“Saya telah minta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan supaya melihat keseluruhannya di mana boleh dibantu semula kerana kos di Langkawi sudah agak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.

Katanya, perkara tersebut sebenarnya telah pun dibincangkan sebelum ini, namun perlu diteliti secara menyeluruh berikutan terdapat pelbagai permintaan lain yang turut perlu dipertimbangkan kerajaan.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Kedah atas cadangan tersebut dan memberi jaminan kerajaan akan meneliti langkah terbaik demi memulihkan ekonomi pelancongan Langkawi.

Sebelum ini, Sultan Sallehuddin menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, baginda difahamkan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai masih kekal, namun beberapa keistimewaan yang sebelum ini dinikmati telah dikurangkan.

Titah baginda, ia termasuk pelaksanaan kadar cukai kepada kenderaan yang dihadkan, cukai-cukai kepada produk yang berasaskan tembakau serta barangan lain.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN