MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 34 laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dan membuka 25 kertas siasatan dari hari penamaan calon pada 31 Okt hingga semalam.
Jurucakap PDRM Melaka Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata daripada jumlah itu, 23 kertas siasatan atau 92 peratus telah diedarkan ke pejabat berkaitan manakala dua lagi masih dalam siasatan.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka berkata 10 kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan manakala empat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Dua kertas siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan turut dibuka manakala dua lagi melibatkan Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala tujuh lagi mengikut beberapa peruntukan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Zaki berkata sembilan laporan di bawah kategori lain-lain klasifikasi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya menghormati hak masing-masing ketika keluar mengundi esok walaupun berbeza ideologi politik.
“Walaupun kita mempunyai perbezaan ideologi dan sokongan politik, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan, provokasi atau tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Mengundi dengan bijak, jangan timbulkan apa-apa masalah dan hormati antara satu sama lain. Saya juga menyeru kepada calon dan penyokong parti supaya menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka serta menjaga hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang telah lama terjalin,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16. – BERNAMA











