Pemilik kedai runcit jadi dalang sindiket dadah rentas sempadan ditahan

Pemilik kedai runcit jadi dalang sindiket dadah rentas sempadan ditahan

MOHD. Yusri Hassan Basri (kiri) menunjukkan dadah seberat lebih 103 kilogram bernilai RM5.18 juta yang dirampas dalam operasi di perairan Kedah, ketika sidang akhbar di Markas Polis Marin Wilayah Satu, George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sindiket penyeludupan dadah jenis syabu yang didalangi lelaki warga tempatan dan berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit tumpas dalam operasi oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Satu di perairan Kedah, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai berperanan sebagai perancang dan penyelaras kegiatan penyeludupan berkenaan.

Menurutnya, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Taring Gelora yang dilaksanakan kira-kira pukul 9 malam,14 November lalu hasil maklumat risikan mengenai pergerakan sebuah bot fiber disyaki digunakan untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

”Ketika rondaan di perairan Tanjung Dawai, Kedah, pasukan operasi mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak,” katanya semasa sidang akhbar di Markas Polis Marin Wilayah Satu, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, bot berkenaan bertindak memecut laju dan melakukan beberapa aksi berbahaya bagi mengelakkan daripada ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, katanya, hasil tindakan pantas dan kerjasama anggota terlibat bot berkenaan berjaya dipintas di laut kira-kira pukul 10.30 malam.

”Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot fiber tersebut dikendalikan oleh dua lelaki warga Indonesia.

”Pemeriksaan fizikal terhadap bot berkenaan telah menemukan lima guni berwarna putih yang
mengandungi sebanyak 100 bungkusan plastik berwarna keemasan berlabel VIP 666, yang disyaki mengandungi dadah,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan dadah yang dirampas mempunyai berat sebanyak 103.79 kilogram dengan anggaran nilai pasaran berjumlah RM5.18 juta.

Mohd. Yusri berkata, hasil tindakan susulan berdasarkan maklumat risikan dan siasatan terhadap tangkapan awal membawa kepada penahanan dua lagi lelaki di sebuah rumah di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani, Kedah.

”Penahanan itu menjadikan keseluruhan empat suspek ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan dipercayai diambil dari Sungai Petani sebelum dibawa ke negara jiran menerusi jalan laut dengan jumlah bayaran RM12,000 setiap kali perjalanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini