Mandat 21 kerusi gagal selesai isu banjir, Melaka Sentral - Adly - Utusan Malaysia

Mandat 21 kerusi gagal selesai isu banjir, Melaka Sentral – Adly

ADLY Zahari memulakan hari kedua berkempen dengan bersarapan dengan penduduk di Kampung Paya Ikan, Bukit Baru, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan dan penyelenggaraan kemudahan awam khususnya Melaka Sentral menjadi isu yang kekal membelenggu rakyat, meskipun Barisan Nasional (BN) diberi mandat 21 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berkata, mandat hampir 75 peratus kerusi DUN itu sepatutnya diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya dalam aspek perumahan, kebajikan dan peluang pekerjaan.

Beliau yang mempertahankan kerusi Bukit Katil berkata, BN perlu memperjelaskan pencapaian pentadbiran sepanjang diberikan mandat besar dan bukannya kembali meminta kepercayaan pengundi tanpa menjawab keluhan yang masih dibangkitkan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“BN juga perlu menjelaskan apakah yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan terutamanya dalam persoalan yang terkait khusus kepada rakyat.

“Maklum balas yang diterima daripada 24 calon PH selepas hari pertama kempen menunjukkan rakyat masih berdepan kesukaran memiliki rumah, mendapatkan bantuan kebajikan dan memperoleh pekerjaan dengan gaji setimpal.

“Peniaga kecil turut menyuarakan tekanan akibat kadar sewa premis dan kekangan modal manakala penduduk membangkitkan masalah banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan serta penyelenggaraan kemudahan awam,” katanya dalam sidang akhbar harian di Bilik Gerakan Utama PH, Kompleks Perniagaan Musai Jaya di hari ini.

DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Adly dengan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ridzuan Mohd. Sarif; calon Bebas, Abu Bakar Sabudin dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Dr. Aliza Che Amran.

Pada PRN lalu, Adly mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua dengan majoriti 1,057 undi.

Berhubung Melaka Sentral, Adly berkata, ia merupakan projek yang belum dimanfaatkan sepenuhnya, selain keadaan beberapa lokasi pelancongan yang memerlukan perhatian serta tindakan kerajaan negeri.

“Papan tanda boleh bertukar dan slogan boleh diperbaharui tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasil yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Adly berkata, manifesto yang dikenali sebagai Aspirasi Pakatan Harapan akan dilancarkan dalam masa terdekat dengan memberikan tumpuan kepada rumah mampu milik, peningkatan pendapatan, sokongan usahawan kecil dan kebajikan pelajar.

Katanya, tawaran tersebut akan diperincikan supaya rakyat dapat menilai sendiri komitmen PH termasuk kemampuan melaksanakan penyelesaian terhadap masalah dibangkitkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini