KUALA LUMPUR: Prinsip bermuafakat perlu menjadi keutamaan dalam usaha membentuk kerjasama di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sehingga ia berterusan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendirian itu selari dengan dasar PN yang mengutamakan muafakat dan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka juga merupakan perkembangan yang membanggakan serta mencerminkan kehendak rakyat.
“Keputusan PRN Negeri Sembilan dan Melaka sangat membanggakan dan ia adalah cerminan kehendak rakyat. Bagi kami, dasar kami adalah mengutamakan muafakat dan kerjasama antara BN dan PN,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada rancangan membawa kerjasama BN-PN ke PRU16 namun kedua-dua pihak boleh berbincang jika keadaan memerlukan.
Namun jika tiba masanya, kedua-dua parti akan duduk bersama ke arah perancangan tersebut.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas bersedia untuk meneruskan persefahaman yang telah dibina dengan BN itu malah telah menggerakkan jentera parti bagi menghadapi PRU16.
Katanya, kesiapsiagaan itu membolehkan Pas meneruskan komitmen terhadap kerjasama politik menjelang PRU16.
“Pas telah menggerakkan kekuatan parti sepanjang masa dan bersedia meneruskan kerjasama menghadapi PRU16 nanti,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, setiap parti perlu menguruskan kehendak dalaman masing-masing terlebih dahulu sebelum menentukan bentuk kerjasama politik yang akan dijalinkan.
Pada Sabtu lalu, BN dan PN berjaya memenangi 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, BN memenangi 21 kerusi, PN memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai baki empat kerusi.-UTUSAN











