Kelemahan pengurusan kontraktor punca 77 peratus projek sakit  - Utusan Malaysia

Kelemahan pengurusan kontraktor punca 77 peratus projek sakit 

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelemahan pengurusan kontraktor dikenal pasti sebagai punca utama 77 peratus projek sakit tahun ini khususnya dari segi perancangan, penyelarasan kerja di tapak, pengurusan tenaga kerja serta penyediaan jentera dan bekalan bahan binaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, baki 23 peratus kelewatan pula berpunca daripada faktor lain termasuk kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses terhad ke tapak bina, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta masalah teknikal berkaitan pelaksanaan projek.

Beliau berkata, trend projek sakit tahun ini menunjukkan penurunan berbanding kadar tertinggi yang direkodkan pada Julai lalu iaitu 6.51 peratus membabitkan 55 projek.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kadar itu menurun kepada 3.77 peratus atau 33 projek pada September lalu, sebelum meningkat sedikit kepada 4.32 peratus atau 38 projek pada Oktober.

“Berdasarkan analisis terhadap punca kelewatan, sebanyak 77 peratus dikenal pasti berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor khususnya dari aspek perancangan dan penyelarasan kerja di tapak yang kurang berkesan, pengurusan tenaga kerja tidak mencukupi serta kelemahan dalam pengurusan jentera dan bekalan bahan binaan.

“Manakala baki 23 peratus pula disebabkan faktor lain antaranya kelewatan kerja pengalihan utiliti, isu pengambilan balik tanah, akses ke tapak bina yang terhad, kekangan bekalan bahan binaan, kenaikan harga diesel serta isu teknikal lain yang berkaitan dengan pelaksanaan projek,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai jumlah dan nilai projek yang dikategorikan sebagai projek sakit termasuk punca utama kelewatan serta tindakan terhadap kontraktor terbabit.

Mengulas langkah menangani projek sakit, Alexander berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pemantauan rapi dan intervensi secara berterusan terhadap 38 projek berkenaan termasuk merujuknya kepada Jawatankuasa Project Solving Governance (PSG) bagi mengenal pasti isu serta menetapkan langkah pemulihan yang bersesuaian.

Katanya, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil pelbagai langkah proaktif dan berterusan bagi menangani kelewatan pelaksanaan projek termasuk memperketat pemantauan kemajuan kerja, melaksanakan intervensi awal serta memperkukuh mekanisme penyelesaian masalah menerusi jawatankuasa berkenaan.

“Tujuan Jawatankuasa PSG yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya adalah untuk memastikan segala obligasi dan tanggungjawab di pihak kerajaan dipenuhi sewajarnya sebelum projek diangkat ke Jawatankuasa Contract Coordination Panel (CCP).

“Sebagai bukti keseriusan kerajaan dalam menangani isu projek sakit, daripada 38 projek yang dikategorikan sebagai projek sakit sehingga Oktober lalu, sebanyak enam projek sudah dirujuk kepada CCP dan kini dalam tindakan penamatan kontrak,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kegagalan kontraktor melaksanakan tanggungjawab kontrak, khususnya apabila segala obligasi di pihak kerajaan sudah dipenuhi namun usaha pemulihan projek tidak menunjukkan keberkesanan.

“KKR dan JKR akan terus memperkukuh pemantauan dan tindakan intervensi bagi memastikan projek pembangunan dapat disiapkan dengan teratur, memenuhi skop, kos dan kualiti ditetapkan, selain melindungi kepentingan kerajaan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini