SETIU: Tinggal beberapa minggu sebelum musim Monsun Timur Laut dijangka melanda, petani di Kampung Nyatuh, di sini mengejar masa menuai kira-kira sembilan tan metrik tembikai bagi mengelakkan hasil tanaman musnah ditenggelami banjir.
Norfazira Jafri, 32, bersama suaminya, Zamarul Effendi Jusoh, 39, kini giat menuai tembikai yang ditanam di kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar bagi memastikan hasil tanaman dapat diselamatkan sebelum musim tengkujuh.
Menurut Norfazira, tanaman yang diusahakan sejak Julai lalu itu kini memasuki tempoh tuaian selepas kira-kira 65 hari, dengan kira-kira tiga tan metrik hasil sudah dituai sejak Sabtu lalu.
“Baki kira-kira enam tan metrik lagi perlu dituai dalam masa terdekat dan kami memang mengejar masa supaya hasil dapat diselamatkan sebelum musim monsun dan banjir melanda.
“Kawasan tanaman ini memang mudah banjir, jadi kami tidak boleh tunggu terlalu lama kerana jika air naik ketika buah masih di pokok, hasil boleh rosak dan menyebabkan kerugian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Pengalaman berdepan banjir pada 2023 menyebabkan mereka berhati-hati dalam menentukan tempoh penanaman selepas terpaksa menanggung kerugian apabila tanaman yang baru dimulakan musnah.
“Modal RM10,000 memulakan tanaman rugi begitu sahaja tetapi terpaksa meneruskan juga penanaman walaupun sudah hampir masuk musim monsun kerana ini sahaja sumber pendapatan yang kami ada,” katanya.
Norfazira berkata, cuaca tidak menentu turut menjejaskan kualiti buah apabila kebanyakan hasil ketika ini berada pada gred B dan C, manakala buah gred A semakin berkurangan.
Fasa pertama tanaman tahun ini berdepan cuaca panas dan kemarau yang menjejaskan kualiti buah, manakala tanaman fasa kedua pula berisiko rosak akibat hujan dan banjir.
“Cuaca tidak menentu menyebabkan buah mudah rosak ketika masih di pokok. Sekarang kebanyakannya gred B dan C manakala gred A tidak banyak.
“Selain cuaca, kami berdepan masalah permintaan yang rendah. Biasanya apabila tiba bulan Ramadan, permintaan tembikai agak tinggi tetapi sekarang pembeli tidak ramai,” katanya.
Harga tembikai dari kebun ketika ini sekitar RM1.30 sekilogram bagi gred A, RM1 bagi gred B dan hanya 50 sen sekilogram bagi gred C.
Bagi memastikan hasil tidak terbuang, Norfazira memasarkan tembikai menerusi media sosial, selain menjual kepada pembeli kecil-kecilan. – UTUSAN











