KOMUNITI di sekitar Pulau Santap, Janda Baik, Bentong, Pahang menyertai program pembersihan dan pemuliharaan alam sekitar sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia, barubaru ini.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Ia adalah sebahagian daripada usaha Gadang Group dalam memupuk budaya menjaga alam sekitar serta meningkatkan kesedaran mengenai amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan warga kerja dan komuniti.
Program berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman selaku tetamu kehormat dan wakil Persatuan Sahabat Alam Tampik yang berkongsi pengetahuan berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah kerja-kerja pembersihan kawasan dan inisiatif Oil-to-Cash yang menggalakkan pengumpulan minyak masak terpakai untuk dikitar semula serta memberi nilai tambah kepada bahan buangan. – UTUSAN











