Tiga faedah baharu untuk 7 juta pekerja - Utusan Malaysia

Tiga faedah baharu untuk 7 juta pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga faedah baharu kini dinikmati oleh tujuh juta pekerja selepas Akta Sistem Insurans Pekerjaan dan Perkhidmatan Pekerjaan 2017 (Akta 800) berkuat kuasa, semalam.

Penambahbaikan itu melibatkan peningkatan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) kepada 50 peratus daripada baki Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) berbanding hanya 25 peratus sebelum ini.

Selain itu, had maksimum Fi Latihan turut dipertingkatkan kepada RM7,000 berbanding RM4,000 dan peningkatan Elaun Latihan kepada RM30 sehari. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memaklumkan, pindaan itu juga menyaksikan pengenalan faedah Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sebanyak RM1,000 secara sekali bayar (one-off ).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia melibatkan pencarum yang hilang pekerjaan dan menerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang kemudian mendapat kerja baharu di lokasi yang jaraknya melebihi 100 kilometer dari kediaman.

“Penambahbaikan yang menyediakan faedah secara purata RM3,300 bagi setiap individu ini mampu merancakkan pasaran buruh negara, selain menjadi pemangkin ke arah tempoh peralihan kerjaya yang lebih cepat.

“Justeru pencarum yang kehilangan pekerjaan boleh mengemukakan permohonan faedah berkenaan secara dalam talian melalui portal LINDUNG Kerjaya atau di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran,” katanya.

Pindaan Akta 800 yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 30 Ogos 2026 dan diwartakan pada 15 September lalu.

Menerusi pelaksanaan itu, menjadi kewajipan kerajaan bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial dan bantuan kewangan serta kerjaya untuk pekerja sektor swasta di Malaysia yang kehilangan pekerjaan.

Pindaan itu melengkapkan agenda Kerajaan Perpaduan ke arah mengukuhkan perlindu­ngan sosial secara lebih menyeluruh, selari pelaksanaan LINDUNG 24 Jam pada 1 Jun lalu yang turut meliputi risiko kemalangan di luar waktu bekerja.

Perkeso berkata, reformasi itu bukan sekadar mengukuhkan jaringan perlindungan dalam dinamika pasaran buruh masa kini, sebaliknya turut disokong mekanisme peralihan kerjaya secara menyeluruh.

Penyediaan ekosistem serba lengkap yang dipacu oleh per­khidmatan pemadanan kerjaya melalui portal pekerjaan negara MYFutureJobs, khidmat nasihat kerjaya, latihan semula, peningkatan kemahiran dan sokongan mobiliti ini mampu menjamin kelangsungan sosioekonomi ma­syarakat.

“Pada masa sama, Perkeso akan terus memperkukuh fungsi MYFutureJobs dengan memanfaatkan data dan maklumat pasaran buruh bagi membantu pencarum mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman dan keperluan industri.

“Pendekatan ini penting supaya tempoh peralihan kerjaya berupaya disegerakan manakala kemahiran yang dimiliki terus relevan dengan permintaan majikan dan perubahan struktur ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×