PETALING JAYA: Bekas pelakon, Zahida Rafik memaklumkan dia tidak akan Kembali ke bidang lakonan walaupun menyimpan sedikit kerinduan untuk beraksi di hadapan kamera.
Zahida, 51, berkata bidang drama dan perfileman sudah lama ditinggalkan kerana komitmen terhadap keluarga.
“Saya sudah lama meninggalkan bidang seni, namun saya selalu menyokong rakan-rakan yang masih berkecimpung dalam bidang ini.
“Memanglah terasa rindu untuk beraksi depan kamera, tetapi saya tidak mampu atas sebab komitmen terhadap keluarga dan perniagaan,” katanya yang ditemui semasa majlis tahlil Allahyarham Tun Hasmah di musolla Aisya, Titiwangsa, baru-baru ini.
Pelakon filem Mami Jarum itu mengakui pernah menerima pelawaan untuk Kembali ke layar perak namun tawaran itu terpaksa ditolak secara baik.
“Dahulu memang sering menerima tawaran berlakon, namun saya tolak. Erma Fatima antara yang selalu menawarkan saya watak dalam dramanya.
“Namun lama kelamaan penerbit mula faham yang saya tidak lagi aktif berlakon kerana komitmen kehidupan yang perlu saya lunaskan,” katanya lagi.
Zahida memaklumkan kehidupannya sekarang lebih tertumpu kepada urusan menjaga orang tua selain menguruskan keluarga.
“Masa saya sekarang lebih banyak dihabiskan untuk menjaga ibu bapa saya, itu komitmen saya sebagai anak.
“Meskipun kami ada pembantu, tetapi kebanyakan masa kami sendiri yang menguruskan mereka,” ujarnya.
Zahida berkata beliau bagaimanapun sentiasa menyokong rakan-rakan seperjuangan yang masih aktif dalam dunia hiburan tanah air.
“Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa. Namun yang penting saya tidaklah menghilang, sentiasa ada untuk kawan-kawan saya,” kongsinya.
Mengulas mengenai Allahyarham Tun Hasmah, Zahidah menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Allahyarham ibarat ibu kepada rakyat di negara ini. Saya pasti, semua orang, walaupun ada yang tidak mengenali beliau secara lebih dekat, tetap merasakan pemergiannya.
“Saya beberapa kali bertemu Tun Hasmah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Jadi pemergian Allahyarham meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.
“Cuma sekarang ini saya bimbang tentang keadaan Tun Mahathir yang paling merasakan kehilangan Allahyarham. Saya tidak mampu menonton videonya yang menangisi pemergian isteri tercinta kerana saya juga turut berduka.
“Negara mungkin tidak bersedia untuk menerima kehilangan seorang lagi permata negara. Saya mendoakan agar Tun Mahathir diberi kesihatan dan dipanjangkan usia,” kongsinya lagi.- UTUSAN











