PETALING JAYA: Pembiayaan mikro ditingkatkan kepada RM6.6 bilion pada 2027 bagi membantu pengusaha kecil meningkatkan pendapatan melalui perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebanyak RM3 bilion dana pembiayaan disediakan tahun hadapan bagi membantu 360,000 pengusaha.
Beliau berkata, Kelantan merekodkan jumlah pembiayaan tertinggi menerusi AIM, manakala Sabah mencatatkan bilangan penerima paling ramai.
“Dana pembiayaan TEKUN pula akan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion. Tumpuannya adalah untuk menyokong pembangunan usahawan Bumiputera,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Anwar berkata, pembiayaan di bawah TEKUN dan AIM bagi masyarakat India turut ditingkatkan kepada RM150 juta bagi membantu pengusaha kecil mengembangkan perniagaan.
“Di bawah BSN pula, pembiayaan mikro disediakan sebanyak RM1.7 bilion. Agihan khusus disediakan untuk manfaat golongan belia, pekerja gig, penjaja dan golongan rentan,” katanya. – UTUSAN











