Pelepasan cukai individu bakal dinaikkan?

Pelepasan cukai individu bakal dinaikkan?

Belanjawan 2027 dijangka terus memberi tumpuan kepada bantuan bersasar bagi menyokong kuasa beli golongan berpendapatan rendah dan sederhana.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelepasan pendapatan cukai individu bakal dinaikkan dalam Belanjawan 2027 bagi memberi lebih ruang kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan sederhana berbelanja dan menampung kos sara hidup.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada masa ini, setiap indi­vi­du menikmati pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM9,000 setahun. Ini bermakna pendapatan bercukai dikurangkan sebanyak RM9,000 secara automatik sebelum cukai dikira. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Mu­a­malat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah itu dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan pertengahan memandangkan kadar pelepasan berkenaan kali terakhir disemak pada tahun 2010.

Katanya, Belanjawan 2027 dijangka tidak memperkenalkan cukai baharu bagi mengelak tekanan tambahan terhadap rakyat susulan peningkatan kos sara hidup. 

“Selain itu, belanjawan kali ini dijangka memberi tumpuan kepada pengurangan kadar cukai bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna golongan berpendapatan sederhana.

“Kali terakhir kadar cukai bagi pendapatan boleh cukai antara RM35,000 hingga RM100,000 setahun dikurangkan adalah sebanyak dua peratus menerusi Belanjawan 2023.

“Jika ia berlaku, semua langkah ini memberi ruang kelegaan kepada golongan pertengahan dengan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka dalam menghadapi tekanan kos kehidupan semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bahawa Belanjawan 2027 akan merangkumi langkah-langkah bagi menangani kesulitan kewangan dalam kalangan rakyat khususnya golongan pertengahan dan bawah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kadar gaji minimum sebanyak RM1,700 dijangka akan dinaikkan dan perinciannya akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat ini.

Mohd. Afzanizam berkata, selain aspek percukaian, Belanjawan 2027 dijangka terus memberi tumpuan kepada bantuan bersasar bagi menyokong kuasa beli golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, antara instrumen yang boleh diperkasa ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) supaya bantuan lebih tertumpu kepada kumpulan memerlukan.

“Pendekatan jangka pendek itu juga termasuk penerusan subsidi bersasar, khususnya melibatkan bahan api petrol dan diesel bagi mengurangkan tekanan perbelanjaan isi rumah.

“Bantuan seperti SARA dan STR yang lebih bersasar kepada M40 dan ke bawah seharusnya menjadi instrumen utama bagi membantu meningkatkan kuasa beli dalam tempoh jangka pendek,” katanya.

Dalam pada itu, pakar percukaian, Dr. Mohd. Fairuz A. Razak berkata, kerajaan dijangka memberi tumpuan kepada penambahbaikan pematuhan percukaian selain menyediakan pelepasan atau pengurangan cukai, khususnya kepada golongan M40.

Beliau berkata, kerajaan dijangka memperluas skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi meningkatkan hasil tanpa memperkenalkan bentuk cukai baharu.

“Peningkatan kadar cukai dalam keadaan semasa pula berisiko menambah tekanan kepada peniaga yang berdepan kenaikan kos operasi, harga minyak, tarif serta ketidaktentuan perdagangan antarabangsa.

“Kalau kita tambah cukai, tambah lagi beban, naik lagi semua, kita tidak dapat satu kitaran yang baik. Peniaga nak jual harga mahal, orang tidak akan beli. Bila peniaga tidak untung, macam mana mereka nak bayar cukai?

“Kerajaan juga tidak akan dapat pendapatan. Jadi, kerajaan perlu membantu peniaga supaya mereka dapat menurunkan harga, memperoleh keuntungan dan seterusnya membayar cukai,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar berkata, Belanjawan 2027 dijangka turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban kos perubatan rakyat.

Katanya, antara kemungkinan yang boleh dipertimbangkan kerajaan ialah memperkenalkan semula konsep klinik seperti Klinik 1Malaysia di lokasi tumpuan golongan B40.

“Langkah itu boleh membantu menyediakan akses rawatan yang lebih mudah dan mampu milik, khususnya kepada isi rumah berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos sara hidup.

“Selain aspek kesihatan, peruntukan Belanjawan 2027 dijangka turut tertumpu kepada pemerkasaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk golongan B40 serta belia luar bandar.

“Pendekatan itu dijangka dilaksanakan secara lebih bersasar bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran golongan berkenaan dalam pasaran pekerjaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN