PETALING JAYA: Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang layak akan menerima kredit pelarasan caj bagi bulan September yang dikira secara pro rata dalam bil Oktober 2026.
Menurut TNB, jumlah pelarasan itu akan dipaparkan dalam bil pelanggan di bawah butiran ‘Pelarasan Bil (Sep 2026) dan ‘Pelarasan Cukai Perkhidmatan (8%) (Sep 2026)’.
Katanya, pelarasan tersebut susulan pengumuman kerajaan pada 17 September lalu untuk menaikkan aras perlindungan pelanggan domestik daripada 600 kilowatt jam (kWj) kepada 800kWj sebulan.
“Menerusi peningkatan aras perlindungan berkenaan, pelanggan domestik dengan penggunaan 800kWj dan ke bawah sebulan bagi tempoh September hingga 31 Disember 2026 akan menikmati pengecualian sepenuhnya daripada Caj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), caj peruncitan RM10 dan cukai perkhidmatan lapan peratus,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan TNB, pelanggan dengan penggunaan antara 601 hingga 800kWj pada September akan menerima pelarasan AFA, caj peruncitan dan cukai perkhidmatan lapan peratus dalam bil Oktober.
“Pelanggan dengan penggunaan 801kWj dan ke atas pula akan menerima pelarasan cukai perkhidmatan lapan peratus. Bagi pelanggan dengan penggunaan 600kWj dan ke bawah, tiada pelarasan diterima dalam bil Oktober,” katanya.
TNB berkata, jadual kelayakan tersebut terpakai bagi bil September 2026 dengan bacaan sebenar.
Dalam pada itu, TNB menyarankan pelanggan mengamalkan langkah kecekapan tenaga bagi memaksimumkan penjimatan, termasuk memantau penggunaan harian melalui aplikasi myTNB.
“Pastikan penggunaan harian kekal di bawah 25kWj dan tetapkan Energy Budget di bawah RM328 bagi premis dengan meter pintar.
“Optimumkan penggunaan penyaman udara dengan menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta gunakan fungsi pemasa,” katanya.
Selain itu, pelanggan disaran mempertimbangkan skim Time-of-Use (TOU) dengan mengalihkan penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi ke waktu luar puncak bagi menikmati kadar tarif lebih rendah.
Waktu luar puncak itu meliputi pukul 10 malam hingga 2 petang pada Isnin hingga Jumaat serta sepanjang hari Sabtu, Ahad dan cuti umum terpilih.-UTUSAN











