Nik Nazmi hadir tiga jam beri keterangan di Pejabat JAIS - Utusan Malaysia

Nik Nazmi hadir tiga jam beri keterangan di Pejabat JAIS

Nik Nazmi
NIK Nazmi Nik Ahmad berada di pekarangan Pejabat JAIS bagi memberi keterangan berhubung siasatan berkaitan kes khalwat dihadapinya, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hadir memberi keterangan lebih tiga jam berhubung siasatan terhadap kes khalwat yang dikaitkan dengannya sebelum ini.

Beliau dilihat tiba di pekarangan Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada pukul 9.15 tadi sebelum keluar pada pukul 11.30 pagi.

Peguam Syarie, Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani berkata, anak guamnya itu kemudian kembali semula ke pejabat tersebut pada pukul 12 tengah hari untuk menyambung keterangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kehadiran bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu adalah untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 29E Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Lebih tiga jam beliau hadir memberi keterangan kepada pegawai penyiasat. Ketika ini adalah peringkat siasatan dan keterangan sudah diberikan, kemudian nanti kita tunggu maklum balas daripada Jabatan Pendakwa Syariah Selangor sama ada beliau akan dipertuduhkan atau tidak,” katanya di sini, hari ini.

Nik Nazmi yang hadir memakai kemeja berwarna putih dan mengenakan kod hitam itu meninggalkan pekarangan Pejabat JAIS di Bangunan Sultan Idris Shah kira-kira pukul 1.30 tengah hari.

Bagaimanapun, beliau enggan ditemui pemberita dan berlalu pergi menaiki sebuah kenderaan di laluan belakang lobi bangunan pejabat itu.

Minggu lalu beliau mengesahkan menjadi antara individu yang ditahan JAIS dalam kes dua individu bukan mahram berdua-duaan di tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.

Susulan itu, Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama (Bersama) selama tiga bulan berkuat kuasa sehingga 19 Januari depan apabila Presidennya, Ahmad Syukri Che Abdul Razab memberitahu perkara itu perlu ditangani dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Ashraf turut mengulas dakwaan tangkapan terhadap anak guamnya itu dirancang susulan satu hantaran tular yang menunjukkan gambar-gambar awal Nik Nazmi sebelum diserbu.

“Bagaimanapun soal (hantaran) yang viral itu kita akan bangkitkan kemudian. Ketika ini kita fokus untuk selesaikan siasatan terlebih dahulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini