Mentaliti 'kami orang Islam, tak perlu sijil halal’ perlu diubah - Utusan Malaysia

Mentaliti ‘kami orang Islam, tak perlu sijil halal’ perlu diubah

DATUK Mohd. Zolkafly Harun (dua dari kanan) menyerahkan sijil penghargaan kepada Mohammed Mosin Abdul Razak pada Seminar Kesedaran Halal bagi Pengusaha Nasi Kandar Negeri Perak di Auditorium Saidina Umar, Institut Tadbiran Islam (Intim) Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mentaliti dalam kalangan pengusaha restoran nasi kandar bahawa mereka tidak memerlukan sijil halal kerana beragama Islam perlu diubah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, persepsi tersebut masih wujud dalam kalangan sebahagian pengusaha yang menganggap status sebagai orang Islam sudah memadai untuk menjamin halalnya sesuatu makanan.

Katanya, sijil itu bukan sekadar pengiktirafan untuk status halal makanan, sebaliknya memberi keyakinan kepada pelanggan terhadap aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan makanan.

“Sekarang ini kita nampak yang bukan Islam lebih banyak memohon sijil halal berbanding orang Islam.

“Justifikasi kita ialah kita orang Islam, jadi tidak perlu ada sijil halal sedangkan kita kena faham, sijil halal ini bukan bermakna kita jual makanan haram tetapi lebih kepada aspek kebersihan, kesucian dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kesedaran Halal bagi Pengusaha Nasi Kandar Negeri Perak di Auditorium Saidina Umar, Institut Tadbiran Islam (Intim) Perak, di sini hari ini.

Seminar yang disertai lebih 130 peserta itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Pengerusi Presma Perak, Abdul Hamid Abdul Muthalif.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara kebimbangan pengusaha untuk memohon sijil halal ialah sijil tersebut akan digantung sekiranya berlaku sebarang kesalahan.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat berdasarkan tahap kesalahan yang dilakukan dan tindakan hanya akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran yang bersifat serius.

“Contoh kesalahan serius kalau kita guna ayam yang tidak disembelih dan saya rasa kita tidak akan lakukan kerana kita orang Islam. Jadi pengusaha tidak perlu terlalu bimbang sehingga takut untuk memohon sijil halal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Presma mempunyai kira-kira 3,200 ahli di seluruh negara dan akan terus menggalakkan lebih ramai pengusaha mendapatkan sijil halal dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Sebahagian ahli sudah memiliki sijil halal dan kita akan terus berusaha menggalakkan lebih ramai ahli memohon sijil berkenaan.

“Kita menyasarkan dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah pengusaha yang memiliki sijil halal dapat ditingkatkan dengan ketara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini