Menggalakkan rakyat Malaysia membaca amat penting sebagai prasyarat utama dalam usaha kita menjadi negara maju mengikut acuan sendiri.
Mana-mana bangsa yang maju memerlukan rakyat yang mempunyai minat membaca yang tinggi sebagai penggerak, tidak terkecuali rakyat negara kita.
Malaysia masih memerlukan rakyat berilmu yang datang daripada minat kepada buku atau mudahnya menjadikan budaya membaca amalan rakyat negara ini.

Namun yang demikian, menjadikan membaca sebagai satu amalan berdepan pelbagai cabaran antaranya sejauh mana kita mempunyai bahan bacaan mencukupi bagi menarik minat ramai kepada buku.
Dengan mengambil kira majoriti rakyat Malaysia minat membaca dan bahan bacaan mencukupi, apakah pula kemampuan kita untuk membantu golongan mereka yang menghadapi masalah membaca terutama Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Walaupun budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia masih belum dipupuk sepenuhnya, usaha untuk memastikan golongan OKU penglihatan tidak turut ketinggalan dalam arus literasi negara terus digerakkan menerusi kerjasama strategik antara EDOTE Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kota Buku (Kota Buku).
Kerjasama tersebut membolehkan alat Akses Teknologi Kebolehaksesan Malaysia (MATA), satu inovasi untuk OKU penglihatan membaca bahan bacaan arus perdana menerusi tulisan Braille digital akan dipasarkan secara lebih meluas dengan sokongan rangkaian dan kepakaran Kota Buku dalam ekosistem perbukuan negara.
Eksekutif Jualan dan Pemasaran EDOTE Sdn. Bhd., Nor Shafiq Nor Azmi, 26, yang juga merupakan OKU penglihatan sejak darjah empat berkata, gandingan tersebut membuka lebih banyak ruang kepada golongan seperti dirinya untuk mengakses bahan bacaan yang selama ini sukar diperoleh.

“Sebelum ini, kalau saya hendak membaca bahan seperti Tasawuf Moden karya Buya Hamka misalnya, saya perlu ada pembantu untuk membacakannya. Kalau hendak guna teknologi, saya perlu imbas (scan) setiap muka surat menggunakan pengimbas (scanner) sebelum ia dipaparkan dalam bentuk teks yang boleh dibaca. Prosesnya sangat rumit,” katanya.
Katanya, kehadiran MATA mempermudahkan proses tersebut kerana dia kini boleh memuat naik e-buku terus ke dalam alat tersebut dan membacanya secara langsung menerusi paparan Braille.
“Ramai dalam kalangan kami yang sebenarnya minat membaca, malah gemar akan puisi dan sastera, tetapi mereka rasa ketinggalan dan tiada harapan untuk turut menikmati hasil penerbitan tempatan kerana kekangan kemampuan. Hari ini saya hendak sampaikan bahawa kita mampu, kerana kita sudah ada MATA,” katanya.
Sementara itu, selain memperkukuh kehadiran di pasaran tempatan menerusi kerjasama dengan Kota Buku, EDOTE turut merangka pelan untuk membawa MATA ke peringkat antarabangsa, dengan tumpuan khusus kepada negara-negara Arab, memandangkan permintaan tinggi terhadap teknologi bacaan al-Quran Braille dalam kalangan komuniti OKU penglihatan Muslim di rantau tersebut.
Langkah tersebut dilihat mampu memperluas impak MATA melangkaui sempadan Malaysia, sejajar dengan hasrat PKB sendiri yang selama ini aktif mempromosikan kandungan dan inovasi tempatan ke pasaran serta pesta buku antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif eBrelle, Dr. Nor Afifah Shabani berkata, cabaran kos pembangunan teknologi ini bukan kecil, dengan kos operasi syarikat kini mencecah lebih RM5 juta bagi membangunkan komputer dan laptop Braille yang direka khas untuk golongan OKU penglihatan merupakan sesuatu yang tidak ada syarikat lain di Malaysia lakukan.
“Kami amat memerlukan bantuan daripada kerajaan dan industri. Ini bukan sekadar isu al-Quran, ilmu atau pendidikan sahaja, ia turut melibatkan peluang pekerjaan untuk OKU penglihatan, yang sehingga kini masih terabai,” katanya.

Beliau turut mengakui anggaran antara 90 hingga 95 peratus pelajar OKU penglihatan tergolong dalam kelompok berpendapatan rendah, bukan kerana kekurangan kebolehan, tetapi disebabkan sistem yang masih gagal memberi ruang sewajarnya kepada mereka, termasuk dari segi peluang pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti.
Dengan kerjasama Kota Buku sebagai pemangkin di peringkat domestik dan rancangan pengembangan ke pasaran antarabangsa, EDOTE dan eBrelle berharap MATA bukan sekadar menjadi alat bantuan, tetapi turut menjadi mercu tanda inovasi Malaysia dalam membela golongan OKU penglihatan di persada dunia.
Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Adibah Omar semasa menyampaikan ucap tama di sempena MIHAS Corner baru baru ini bertajuk The Right to Read: Technology, Inclusion and the Future of the Muslim World berkata demonstrasi rasmi MATA yang dibangunkan bersama syarikat teknologi tempatan eDote Sdn. Bhd. itu, bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia serta Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia membuka mata masyarakat global tentang peranan teknologi inklusif dalam memacu pengedaran kandungan antarabangsa.-UTUSAN











