Kes tembak di stesen minyak: Polis rakam 10 keterangan - Utusan Malaysia

Kes tembak di stesen minyak: Polis rakam 10 keterangan

MOHD. Alwi Zainal Abidin menyampaikan sijil kepada pesara pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja PDRM Kontinjen Perak Tahun 2026 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kejadian tembakan membabitkan dua lelaki bersenjata api di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral, Bidor, Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, sembilan saksi yang dirakam percakapan terdiri daripada tiga ahli keluarga mangsa yang berada dalam kenderaan dan beberapa individu lain yang berada di lokasi kejadian.

Katanya, keterangan mangsa berusia 41 tahun itu turut diambil polis ketika lelaki berkenaan masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan mangsa kini stabil dan polis masih menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Semakan awal juga mendapati kenderaan yang digunakan suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya selepas Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak Tahun 2026 di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, polis sedang giat mengesan dua individu terbabit, termasuk seorang lagi suspek yang dipercayai bertindak sebagai pemandu kereta Honda City berwarna hitam berkenaan.

Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan mendapati mangsa ditembak dari dua arah, iaitu bahagian hadapan dan sebelah kanan.

“Polis turut meneliti rakaman CCTV di beberapa lokasi lain termasuk plaza tol. Bagaimanapun, semakan mendapati kenderaan suspek tidak berhenti di mana-mana kawasan rehat tol.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa diekori berdasarkan pergerakan kenderaan suspek yang dipercayai dipandu laju sebelum memecut dan berhenti di hadapan kenderaan mangsa dan melepaskan tembakan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6.08 petang, Selasa lalu, seorang ahli perniagaan cedera di bahu kiri selepas ditembak dua lelaki bersenjata api dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral.

Kejadian tersebut berlaku ketika kenderaan dipandu abang ipar mangsa berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi minyak.

Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan jenis Toyota Land Cruiser itu cedera terkena satu das tembakan di bahu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×