Kemasukan babi hidup ibarat ‘kandang bergerak’ - Persatuan Nelayan - Utusan Malaysia

Kemasukan babi hidup ibarat ‘kandang bergerak’ – Persatuan Nelayan

Babi
ABDUL Rahman Kachil (kiri) menunjukkan kenyataan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung mengimport daging dan larangan ternakan babi pada sidang akhbar di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kemasukan babi hidup ke negeri ini melalui Pelabuhan Klang diibaratkan seperti ‘kandang bergerak’ yang membawa 800 ekor haiwan berkenaan melalui laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Abdul Rahman Kachil berkata, situasi tersebut bukan sahaja mencetuskan masalah bau dan pencemaran air, malah jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Katanya, aktiviti pembersihan selepas pemunggahan babi hidup di dermaga yang terletak bersebelahan dengan Jeti Pulau Ketam di Pelabuhan Klang itu menimbulkan keraguan dalam kalangan penangkap ikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita dapati selepas pemunggahan, kawasan itu akan dibersihkan dan sisanya pasti jatuh ke laut. Sedangkan kawasan berhampiran pelabuhan merupakan tempat nelayan-nelayan pantai atau kecil.

“Malah ada nelayan mendakwa ketika pemunggahan dibuat, apabila pintu ruangan kapal yang menempatkan ratusan ekor babi itu dibuka, baunya akan menerpa pada jarak lebih 500 meter,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Justeru, Abdul Rahman menegaskan pihaknya membantah dan mendesak kerajaan negeri menghentikan terus pengimportan babi hidup di Pelabuhan Klang dan mematuhi titah Sultan Selangor supaya hanya daging sahaja dibawa masuk.

Terdahulu, kemasukan babi hidup itu didakwa mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk penghantaran terus haiwan itu ke pusat penyembelihan.

Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tidak timbul isu ketidakpatuhan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila baginda sebelum ini menegaskan berkenaan larangan menternak haiwan berkenaan di negeri ini.

Bagaimanapun, Abdul Rahman yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang kesal apabila babi hidup dibawa masuk sejak tahun lalu dan hanya menyedarinya baru-baru ini.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut sisa pembersihan aktiviti pemunggahan babi itu hanyut di laut sekali gus menimbulkan keyakinan bagi umat Islam yang membeli hasil laut di 42 jeti nelayan di seluruh Pelabuhan Klang.

“Kita bukan sahaja menangkap ikan, tetapi ada ternakan kupang dan kerang terutama di kawasan perairan Pelabuhan Klang, Selat Lumut, Pulau Indah, Sementa, Tok Muda. Adakah sisa pembersihan babi hanyut di kawasan ternakan hasil laut?

“Ada 860 nelayan pantai di Pelabuhan Klang, sebahagiannya mengusahakan ternakan kerang dan kupang. Bila orang tahu air sisa cucian babi hanyut di perairan di sana, adakah mereka akan membeli ikan daripada kami lagi selepas ini?” soalnya.

Minggu lalu, kerajaan negeri dilapor menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini