KUALA LUMPUR: Transformasi pendidikan masa hadapan perlu bergerak seiring antara kemajuan teknologi dan inovasi dengan pembentukan nilai insan bagi memastikan perkembangan digital tidak mengetepikan etika serta aspek kemanusiaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) Majlis Amanah Rakyat (MARA), Zahari Aziz berkata, penerapan nilai dalam teknologi dan inovasi penting untuk membentuk generasi berilmu, bertanggungjawab serta memiliki jati diri yang teguh.
“Apabila kita bergerak menuju Pendidikan 5.0, tumpuan kita tidak boleh terhad kepada kemajuan teknologi semata-mata. Teknologi dan inovasi perlu dipandu oleh nilai, etika dan kemanusiaan bagi melahirkan individu yang berkeupayaan intelektual, bertanggungjawab kepada masyarakat serta mempunyai jati diri yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata, jalinan kerjasama antarabangsa juga memainkan peranan penting dalam memperluas perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik bagi memperkukuh pembangunan pendidikan secara menyeluruh serta mampan.
Perkara itu menjadi antara fokus Persidangan Antarabangsa Pendidikan Kali Ke-4 (ICTE’26) yang diadakan di Grand Riverview Hotel di sini pada 14 dan 15 Oktober lalu.
Mengangkat tema Transforming Educators for Education 5.0: Bridging Technology, Innovations and Values, persidangan berkenaan berjaya menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Sebanyak 718 kumpulan mengambil bahagian dalam pertandingan inovasi digital yang mengetengahkan kecerdasan buatan (AI), integriti dan kelestarian, dengan empat Diamond Award ditawarkan menerusi kategori Professional Innovator, Ace Innovator, Pioneer Innovator dan Novice Innovator.
Fahmi Odeni dari KPTM Alor Setar muncul pemenang kategori Professional Innovator menerusi inovasi i-Integriti 2.0, manakala Rembayung Jawi Pro dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan memenangi kategori Ace Innovator.
Bagi kategori Pioneer Innovator, anugerah itu menjadi milik Muhammad Thaqif Darwisy Izani dari Maahad Sains Tok Guru menerusi AddMathEZ, sementara HABAGO dari Sekolah Rendah Islam Al Amin Keramat memenangi kategori Novice Innovator.
Dalam kategori anugerah khas, Dr. Hanzalah Mohamed Nor dari IPG Kampus Kota Bharu menerima Best Educational Impact Award menerusi inovasi HAN’S-CRiTAI.
FORMAT’nGo pula merangkul Best Technology Integration Award hasil inovasi TS Dr. Sabri Ahmad Hisham dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
TOMA.Ai memenangi Best Sustainable Innovation Award, HIJRALLE menerima Most Promising Innovation Award, manakala Light Dependent Safety Power Socket (LD-SPS) membawa pulang Best Practical Innovation Award.
Tiga penyelidikan terbaik turut dianugerahkan Gold Award bagi kajian berkaitan motivasi penulisan Bahasa Inggeris, penglibatan industri dalam Sistem Latihan Dual Nasional serta penerapan AI dalam reka bentuk pengajaran Sains.
Kajian berkenaan melibatkan penyelidik dari Malaysia, China dan Indonesia, sekali gus memperlihatkan penyertaan institusi pelbagai negara dalam perkongsian kepakaran dan pengetahuan menerusi persidangan itu.
Lima penerima Anugerah Poster Terbaik ICTE’26 pula terdiri daripada wakil KPTM Ipoh, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Universiti Malaya.
Ketua Pegawai Eksekutif KPTM Sdn. Bhd., Radzuan Razali berkata, peserta seharusnya menggunakan peluang menerusi persidangan itu untuk menambah pengetahuan serta membina rangkaian kerjasama yang dapat diteruskan selepas program berakhir.
ICTE’26 dianjurkan oleh KPTM Kota Bharu dengan kerjasama institusi pendidikan di Kelantan dan Terengganu serta rakan kolaborasi dari dalam dan luar negara.
KPTM Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada 1983 di bawah MARA Corporation Sdn. Bhd., kini menawarkan 55 program pengajian menerusi tujuh cawangan, termasuk Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM).











