Ibu bapa digesa buat laporan polis jika anak jadi mangsa penceramah bebas

Ibu bapa digesa buat laporan polis jika anak jadi mangsa penceramah bebas

FADHLINA Sidek (tengah) bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (tiga dari kanan) dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (tiga dari kiri) menyaksikan penyerahan Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap JKR di SMK Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Ibu bapa yang mempunyai maklumat atau anak mereka menjadi mangsa pedofilia membabitkan seorang penceramah bebas diminta segera membuat laporan polis.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, laporan itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, ini juga untuk memastikan perkara itu tidak berlarutan dalam persekitaran sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita minta anak-anak ataupun mangsa yang terlibat untuk tampil kepada pihak berkuasa dan membuat laporan. Ini sangat penting.

“Kalau tidak ada laporan daripada pihak berkuasa dan juga dari segi tindakan-tindakan itu, ia pastinya akan menyukarkan kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan menghentikan serta-merta semua program membabitkan penceramah berkenaan bagi memberi laluan kepada siasatan yang sedang dijalankan.

Fadhlina berkata, kementerian mahu memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat kepada murid.

Katanya, justeru pihak sekolah dan pentadbir diminta mengambil serius sebarang perkara yang boleh mengancam keselamatan mereka.

“Kita tidak mahu perkara ini terus berlangsung dalam suasana sekolah. Kita mahu sekolah kita betul-betul selamat dalam aspek itu dan kita minta untuk semua pihak sekolah, pentadbir mengambil perkara ini secara serius,” katanya.

Fadhlina berkata, projek pembangunan sekolah yang diserahkan kepada KPM hari ini membabitkan sekolah di daerah Alor Gajah dan Jasin di bawah projek sekolah daif Melaka, termasuk penyediaan kemudahan untuk murid berkeperluan pendidikan khas (PPKI) serta makmal sains.

Katanya, penyediaan kemudahan berkenaan bukan sahaja membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, malah membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan dengan lebih berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN