KOTA BHARU: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu dan mencederakan seorang lagi pelajar lain akibat kecuaian dalam kejadian di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, di sini, pada 12 April lalu.
Sakinah Ismail, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai yang tidak terjumlah kepada kesalahan mematikan orang dengan salah sehingga menyebabkan kematian pelajar Tingkatan Satu Nur Fatimatul Hawa Mohd. Azaudin.
Kesalahan itu didakwa berlaku kira-kira pukul 1.40 petang di kawasan surau SMK Tanjung Mas, Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa, di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Sakinah didakwa dengan cuai melanggar pelajar tingkatan satu, Zara Akhtar Zamzuri menggunakan kenderaan jenis Honda HR-V.
Kesalahan itu didakwa berlaku di lokasi, tarikh dan pada waktu yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaan Muhammad Nadzhir Abdullah sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hassan dan Wan Fadhil Fayyadh Wan Mohd. Zuhari.
Terdahulu, Muhammad Nadzir menawarkan jaminan RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Muhamamd Hasif bagaimanapun memohon jaminan paling minimum ditawarkan kerana anak guamnya yang juga ustazah seorang yang berdisiplin dan memberi kerjasama baik selain tinggal di Kota Bharu.
Katanya, anak guamnya tidak pernah terbabit dengan sebarang kesalahan dan memaklumkan tertuduh sebelum ini menerima dua kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
“Selain itu, anak guam saya juga penerima anugerah guru personaliti terbaik pada tahun lalu di sekolah berkenaan dan akan bersara pada 16 November ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM2,000 bagi kedua-dua kes dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Pada 13 April lalu, seorang guru dilapor ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan yang maut dirempuh SUV di hadapan surau SMK Tanjong Mas.
Kemalangan yang meragut nyawa seorang remaja perempuan di sekolah berkenaan dipercayai berpunca daripada pemandu SUV yang tertekan pedal minyak lalu terbabas sebelum merempuh mangsa.
Kejadian pukul 1.50 petang itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar perempuan mengalami kecederaan. – UTUSAN











