Gaji minimum bukan alasan naik harga barang

Gaji minimum bukan alasan naik harga barang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penetapan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai 1 Jun 2027 bukan alasan untuk menaikkan harga barang memandangkan peningkatan kos operasi perniagaan bukan semata-mata berpunca daripada kenaikan upah pekerja.

Penasihat Kanan Hubungan Kerajaan, Media dan Antarabangs, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sebaliknya kesan kenaikan kos operasi dan pengeluaran banyak bergantung kepada faktor kos pengeluaran, rantaian bekalan dan keadaan ekonomi.

Katanya, meskipun majikan dijangka menanggung peningkatan kos operasi antara 10 hingga 12 peratus susulan kenaikan gaji minimum, namun kesannya tidak sama bagi semua syarikat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kesan lebih ketara dijangka dirasai syarikat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap tenaga kerja sehingga boleh menjejaskan margin keuntungan, aliran tunai dan kemampuan mengambil pekerja baharu.

“Kadar kenaikan harga kepada pengguna pula tidak dapat ditentukan kerana setiap perniagaan mempunyai kos operasi berbeza.

“Ada syarikat yang mungkin menaikkan harga, ada yang menyerap sebahagian kos melalui margin keuntungan yang lebih rendah dan ada yang meningkatkan produktiviti atau mengurangkan perbelanjaan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 dibimbangi menyebabkan harga barang dan perkhidmatan meningkat sekiranya majikan memindahkan kos tambahan pembayaran gaji kepada pengguna.

Kelmarin Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dilaporkan berkata, lebih empat juta pekerja akan menikmati kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, iaitu peningkatan RM300 atau 17.6 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan beberapa inisiatif termasuk peningkatan gaji minimum, kebajikan pekerja gig dan peluang latihan yang memenuhi keperluan industri. 

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, kenaikan gaji sebanyak 17.6 peratus bagi pekerja yang terlibat tidak bermakna harga barang dan perkhidmatan juga perlu meningkat sebanyak 17.6 peratus.

“Kita perlu memahami selain soal gaji minimum pekerja. Bagi majikan, kosnya lebih tinggi kerana kita turut membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

“Jika ada tuntutan kerja lebih masa dan bayaran lain berkaitan gaji, semuanya berdasarkan gaji lebih tinggi. Kos operasi sememangnya meningkat dan kos tambahan boleh meningkat sekitar 10 hingga 12 peratus.

“Tidak tepat untuk menetapkan satu angka peratusan kenaikan kos operasi yang terpakai kepada semua syarikat tanpa mengambil kira struktur kos dan keadaan perniagaan masing-masing,” katanya.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak 17.6 peratus daripada RM1,700 kepada RM2,000 tidak bermakna harga barangan dan perkhidmatan meningkat pada kadar sama kerana upah hanyalah satu komponen kos.

“Sekiranya pelarasan harga diperlukan, masa pelaksanaannya bergantung pada kitaran pengeluaran, kedudukan stok, tempoh kontrak dan rundingan dengan pelanggan.

“Sebarang kesan berkaitan pelaksanaan gaji minimum baharu mungkin berlaku secara berperingkat sekitar atau selepas Jun 2027 dan bukannya serentak bagi semua barangan dan perkhidmatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebahagian kos tambahan mungkin dipindahkan kepada pengguna sekiranya peningkatan produktiviti dan penjimatan operasi tidak mencukupi.

Beliau berkata, kemampuan menyerap kos tambahan berbeza antara syarikat, dengan pengilang berintensifkan buruh dan mempunyai margin keuntungan kecil berdepan tekanan lebih besar.

Katanya, syarikat yang mempunyai produktiviti lebih tinggi, kedudukan kewangan kukuh dan ruang meningkatkan kecekapan mungkin dapat menyerap sebahagian atau keseluruhan kenaikan kos tersebut.

“Sebahagian kos mungkin diterjemahkan kepada pelarasan harga sekiranya peningkatan produktiviti dan penjimatan operasi tidak mencukupi. Bagaimanapun, kenaikan harga bukan sesuatu yang automatik.

“Pengilang perlu mengambil kira persaingan, permintaan, kontrak pelanggan dan kemampuan pengguna. Bagi pengilang yang bersaing dalam pasaran eksport, ruang untuk menaikkan harga juga terhad kerana pelanggan boleh mendapatkan bekalan daripada negara lain,” katanya.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. Saravanan Thambirajah pula berkata, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 berisiko mencetuskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sekiranya peningkatan kos buruh tidak disertai pertumbuhan produktiviti, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat.

Beliau berkata, sebahagian peniaga berkemungkinan memindahkan kos tambahan operasi kepada pengguna bagi menampung kenaikan upah pekerja.

Katanya, golongan paling terkesan sekiranya berlaku kenaikan harga adalah isi rumah berpendapatan rendah, pekerja tidak formal, pesara, warga emas, ibu atau bapa tunggal serta mereka yang tidak menerima kenaikan pendapatan.

Malah katanya, kemampuan industri menyerap kenaikan kos itu bergantung pada saiz perniagaan, permintaan pasaran, margin keuntungan dan produktiviti pekerja, dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran berbeza berbanding syarikat besar.

“Golongan M40 turut terkesan, terutama keluarga yang mempunyai komitmen kewangan tinggi dan tanggungan ramai.

“Kita perlu faham bahawa bukan semua rakyat menikmati kenaikan gaji minimum. Namun, apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat, kesannya akan dirasai oleh hampir semua pengguna.

“FOMCA bimbang sekiranya kenaikan gaji RM300 akhirnya dihakis oleh peningkatan kos makanan, pengangkutan, sewa rumah dan keperluan harian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini