IPOH: Perjalanan seorang murid Tahun Empat ke sekolah bertukar tragedi apabila dia maut bersama kakaknya selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Perpaduan, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Suhaila Ibrahim, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan dan kakaknya, Elyana Nasuha, 19, maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi kakak Suhaila, Norhayati Qaliesha, 12, yang turut membonceng motosikal sama, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada pukul 7.40 pagi.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika penunggang motosikal jenis Yamaha EZ115 itu dalam perjalanan menghantar dua adiknya ke sekolah.
“Berdasarkan siasatan, kemalangan berlaku ketika motosikal yang dinaiki tiga beradik itu datang dari arah Jalan Perpaduan menuju ke Bercham.
“Pada masa sama, sebuah Proton Saga yang dipandu seorang wanita berusia 19 tahun keluar dari simpang di sebelah kiri untuk memasuki jalan utama sebelum berlaku pertembungan dengan motosikal terbabit.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal dan seorang pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pembonceng cedera,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammad Najib, dalam kejadian itu, pemandu kereta Proton Saga tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN











