KUALA LUMPUR: Seramai tujuh individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan menggunakan laluan udara bagi menghantar bekalan ke luar negara, baru-baru ini.
Dalam operasi Op Tebuan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan tujuh serbuan di Perak, Selangor dan Kedah bermula 1 September hingga 4 Oktober lalu.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan tujuh suspek termasuk seorang warga asing berusia 34 hingga 58 tahun serta rampasan 210.32 kilogram (kg) methamphetamine dan 95.45 kg bunga ganja bernilai keseluruhan RM18.16 juta.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama pada 1 September lalu dijalankan di pekarangan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dengan menahan seorang lelaki warga asing.
Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek menunggu penerbangan dari Ipoh ke Singapura untuk transit sebelum berlepas ke London, United Kingdom.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 50 bungkusan lutsinar berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 26.2 kg.
“Susulan tangkapan tersebut, JSJN Bukit Aman menjalankan enam lagi serbuan di sekitar Selangor dan Kedah pada 30 September serta 4 Oktober lalu yang membawa kepada penahanan enam lagi suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur.
Menurutnya, polis turut merampas 210.32 kg methamphetamine dan 69.25 kg bunga ganja, menjadikan keseluruhan rampasan bunga ganja sebanyak 95.45 kg.
Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di utara Semenanjung sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang untuk pasaran tempatan.
“Sindiket ini turut menghantar bekalan kepada ‘keldai dadah’ untuk diseludup ke luar negara melalui laluan udara.
“Dalang sindiket tersebut dipercayai warga tempatan telah ditahan dan kita percaya turut mempunyai kaitan dengan kegiatan gangsterism,” katanya.
Menurutnya, suspek pertama didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 8 September lalu manakala suspek kedua hingga ketujuh didakwa mengikut seksyen sama pada 8 Oktober lalu.
Jelasnya, ujian saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah.
“Semakan turut mendapati lima suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah dan jenayah.
“Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM118,000,” katanya. – UTUSAN











