PETALING JAYA: Pelakon, Beto Kusyairy, dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Nasional di Asian Academy Creative Awards (AACA) menerusi lakonanya dalam Good Boys Go to Heaven.
Kemenangan itu melayakkan Beto mewakili negara untuk bersaing dengan calon lain dari 10 negara Asia yang lain.
Menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah, Beto menzahirkan rasa syukur dan besar hati apabila namanya diletakkan sebaris dengan figura hebat di peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, semestinya saya amat berbesar hati dipilih mewakili Malaysia di AACA nanti dan diletakkan sebaris dengan nama-nama besar Asia yang lain dalam kategori ini.
“Secara jujur, saya tidak pernah bekerja semata-mata untuk anugerah atau meletakkan sasaran tertentu. Namun, ini adalah satu penghargaan besar buat diri saya untuk membawa nama Malaysia ke pentas luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, pelakon filem Mat Kilau ini berharap pengiktirafan tersebut dapat membuka mata dunia terhadap kemampuan industri kreatif tempatan dalam menerbitkan naskhah yang bermutu tinggi.
“Ini adalah peluang untuk kita mempamerkan kebolehan dan kemampuan anak seni tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti.
“Mudah-mudahan ia memberi manfaat serta menarik minat pengkarya luar untuk berkolaborasi dengan kita pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Bercerita mengenai naskhah Good Boys Go To Heaven, Beto yang melakonkan karakter bapa bernama Yasser menyifatkan projek tersebut sangat istimewa kerana membincangkan tentang isu pengantun seksual terhadap kanak-kanak.
“Projek ini sangat istimewa kerana wujudnya kolaborasi yang baik dalam seluruh pasukan.
“Selain itu, temanya membawa topik yang agak taboo untuk diperkatakan, namun secara realitinya isu tersebut masih berlaku dalam kalangan kita,” katanya menutup bicara.
Peringkat akhir Asian Academy Creative Awards dijadualkan berlangsung di Singapura pada Disember depan, yang mana pemenang bagi setiap kategori dari seluruh Asia akan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.











