SHAH ALAM: Seorang bekas pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (UKMShape) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan salah guna kuasa bernilai RM3.12 juta.
Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Dr. Muhammad Hussin, 64, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, pesara itu didakwa sebagai sebagai salah seorang anggota mempengaruhi ahli lembaga Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) bagi melantik syarikat, QTech Management Malaysia Sdn. Bhd. yang mana dia dikatakan mempunyai kepentingan terhadapnya.
Lantikan tersebut bertujuan bagi pemberian kontrak pekerjaan mengendalikan program Sarjana Pendidikan dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah melalui Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM3.12 juta.
Kesalahan tersebut dilakukan dekat sebuah kolej kediaman di universiti berkenaan dan sebuah hotel di daerah Hulu Langat pada 26 Februari dan 25 Jun 2022.
Justeru, bapa kepada sembilan anak itu dituduh di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Selain penjara, tertuduh juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Wafi Anwar Roslan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan dua isteri dan sembilan anak, termasuk seorang bayi berusia 22 hari.
“Dia sudah bersara empat tahun lalu dengan menerima wang pencen bulanan RM8,000. Tertuduh juga menghidap kanser tisu serta penyakit jantung yang memerlukan rawatan berkala.
“Berkenaan syarat penyerahan pasport saya mohon supaya ia tidak dikenakan kerana isteri kedua dan anak berada di Indonesia,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 selain tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 November. – UTUSAN











