Maritim tahan vesel, kapal kargo asing di perairan Perak - Utusan Malaysia

Maritim tahan vesel, kapal kargo asing di perairan Perak

KAPAL kargo asing yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang perkapalan ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan 23.4 batu nautika barat daya Tanjung Lumba-lumba dekat Lumut, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) dan sebuah kapal kargo asing di perairan negeri ini selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang perikanan dan perkapalan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Shukri Khotob berkata, dalam kejadian pertama, sebuah vesel ditahan kira-kira pukul 9.55 pagi semalam, pada kedudukan 2.0 batu nautika barat laut muara Sungai Burung.

Katanya, penahanan vesel itu dilakukan ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 56 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta
Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan selain gagal mempamerkan lesen vesel sebagaimana ditetapkan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tekong terbabit ditahan untuk siasatan lanjut manakala vesel, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, beliau berkata, Maritim Malaysia turut menahan sebuah kapal kargo asing jenis bulk carrier berdaftar di Panama selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 23.4 batu nautika barat daya Tanjung Lumba-Lumba, sekitar pukul 4.00 petang, Selasa lalu.

Katanya, kapal berkenaan dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia dan gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan negara.

“Susulan pemeriksaan itu, tiga kru terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun
dan dua warga Myanmar masing-masing berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat
Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, dokumen berkaitan kapal turut disita untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi melengkapkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kedua-dua tindakan penguatkuasaan ini mencerminkan pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti di perairan negara, merangkumi pematuhan undang-undang perikanan oleh vesel tempatan serta peraturan pelayaran dan perkapalan yang melibatkan kapal asing.

“Ini kerana, setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan negara tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini