PETALING JAYA: Penerbit, Datuk A. Aida mengakui sebak dan mengalirkan air mata sebaik sahaja dimaklumkan bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Spring, Ameng, dikurniakan gelaran Datuk, hari ini.
A. Aida berkata, Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail sangat layak menerima pengiktirafan daripada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu kerana jasanya sebagai lagenda tanah air.
“Apabila anak berkongsi video Ameng sedang berlatih untuk istiadat ambil pingat, saya terharu sehingga menitiskan air mata. Bagi saya, dia memang layak menerima pengiktirafan itu kerana dia adalah legenda tanah air.
“Saya tumpang gembira bagi pihak dia. Sebenarnya, sejak dahulu lagi ketika melihat rakan seperjuangannya seperti Datuk Awie dan Datuk Amy Search menerima gelaran Datuk, dalam hati saya terdetik agar suatu hari nanti rezeki yang sama turut berpihak kepada Ameng,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai kredibiliti penyanyi lagu Sejiwa itu, A. Aida menegaskan bahawa sumbangan Ameng dalam industri muzik tempatan tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Ameng adalah legenda negara. Lagu-lagunya begitu ikonik, sering bermain di bibir peminat sehingga ada yang menitiskan air mata mendengarnya.
“Jika Ameng kata dia tidak layak, saya orang pertama yang tidak bersetuju kerana pada mata saya, dia sangat layak. Gelaran itu tidak boleh dipertikaikan,” tegasnya.
Dalam pada itu, A. Aida turut mengakui anugerah yang diterima Ameng sebagai keajaiban apabila berkongsi tarikh dengan filem Bisikan nafsu lakonan anaknya, Azeeva, yang juga ditayangkan bermula hari ini.
“Anak-anak sangat gembira ayah mereka terima pingat. Cantik aturan Allah, dia dapat pingat pada masa sama filem anaknya keluar. Boleh pula jatuh pada tarikh yang sama, Alhamdulillah.
“Selain Ameng, saya juga menanti saat Ella dan Ziana Zain menerima anugerah yang sama. Mereka adalah legenda yang telah banyak berjasa.
“Karya-karya mereka bukan sekadar hiburan, malah membantu masyarakat menghilangkan stres. Mereka semua adalah permata seni negara,” katanya.
Terdahulu, Ameng menerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-67 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, hari ini.
Untuk rekod, Ameng Spring dan Datuk A. Aida berkahwin pada 1994 dan bercerai secara rasmi pada 17 Disember 2003. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua orang anak Wan Az Aleesa dan Wan Azeva. -UTUSAN











